KUALA LUMPUR – Penyanyi muda sensasi, Alyssa Dezek mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih keputusan cemerlang ‘straight A’ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan hari ini.
Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik dan kerjaya seni mampu dicapai secara seiring dengan disiplin serta pengurusan masa yang baik.
Alyssa, 18, yang juga ikon kepada PTTI berkata, konsistensi dalam pembelajaran menjadi faktor utama kejayaannya.
Sepanjang tempoh persediaan menghadapi SPM, dia mengikuti kelas dalam talian bagi kesemua sembilan mata pelajaran menerusi platform tersebut.
Menurutnya, pendekatan pembelajaran secara digital itu banyak membantu dalam memahami subjek dengan lebih mendalam selain memudahkan pengurusan masa di tengah jadual seni yang padat.
“Saya sangat bersyukur. Perjalanan ini bukan mudah kerana saya perlu membahagikan masa antara kerjaya dan pelajaran.
“Tapi saya percaya, kalau kita ada disiplin dan sistem pembelajaran yang betul, kita boleh capai apa yang diimpikan,” katanya.
Penyanyi lagu Lagu Untuk Kamu itu turut menzahirkan penghargaan kepada kedua ibu bapanya, guru-guru serta pihak PTTI yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan akademiknya.
“PTTI banyak membantu saya kekal fokus dengan kelas yang fleksibel dan teknik pembelajaran yang mudah faham.
“Saya ikut semua kelas untuk sembilan subjek, dan itu antara kunci utama saya dapat ‘straight A’,” ujarnya.
Kejayaan tersebut bukan sahaja membanggakan keluarga dan peminat, malah dilihat sebagai inspirasi kepada generasi muda untuk terus menyeimbangkan pendidikan dan minat, walaupun bergelar figura awam. – MYBERITA

