PDRM, MAINJ siasat video wanita menyimpang mengaku jadi Nabi

JOHOR BAHRU – Seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai Ratu Nur Puteri Ratu Balqis mendakwa dirinya ‘dipinjamkan badan’ oleh malaikat dan pernah menjadi Nabi Muhammad SAW, sekali gus mencetuskan kontroversi di media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata pengakuan tersebut dibuat melalui beberapa klip video yang tular sejak Jumaat lalu dan mengandungi ajaran menyimpang serta mengelirukan.

“Individu itu turut mendakwa dirinya sebagai ‘Ruhul Qudus, Ruhul Amin, Raja Muhammad atau alam nyata aku dahulu Muhammad Putra Aminah’ dan mengeluarkan kenyataan yang mempersendakan kemuliaan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, terdapat aduan berhubung penyebaran ajaran sesat yang dikenali sebagai God, The Mother melalui edaran bercetak di AEON Mall, Kulai pada 26 Mac lalu.

Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menegaskan bahawa sebarang ajaran yang menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, aliran Asya’irah dan Al-Maturidiah wajib dibanteras.

Tindakan bersepadu antara Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan susulan Mesyuarat Membanteras Ajaran Menyimpang pada 30 Mac 2026.

Selain itu, tindakan tegas akan dikenakan berdasarkan undang-undang dan enakmen yang berkuat kuasa di Johor terhadap mereka yang terlibat.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 298, 500, 505(b) Kanun Keseksaan serta Enakmen Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

Mohd Fared menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sebarang fahaman menyimpang dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat penyebaran ajaran seumpama itu.

Semalam, polis membuka kertas siasatan berhubung hantaran video yang didakwa mengandungi unsur fitnah, penghinaan serta dakwaan tidak berasas terhadap Institusi Diraja Johor, pihak berkuasa dan agama Islam.

BACA JUGA:  Tragedi UPSI: Bas persiaran rempuh Alza sebelum terbalik

Dalam beberapa video yang tular di akaun TikTok, wanita tersebut didakwa menjunjung al-Quran sambil mendakwa dirinya anak kepada Adam dan Hawa yang telah dihidupkan semula.

Video lain menunjukkan wanita itu mendakwa dirinya guru kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

MAINJ dan pihak berkuasa menekankan bahawa kejadian ini berpotensi menjejaskan akidah umat Islam serta mengganggu ketenteraman awam. -MYBERITA

Syahirah Zakaria
Syahirah Zakaria
syahirahzakaria@portalmyberita.com

TRENDING

DBKL tambah tiga CCTV di KLCC, perkukuh keselamatan, banteras ‘ulat foto’

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah...

13,779 calon raih keputusan cemerlang SPM 2025

PUTRAJAYA - Seramai 13,779 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)...

Penuntut USM, Amirul Syahmi cipta nama, sasar tempat dalam skuad futsal kebangsaan

KUALA LUMPUR - Seorang penuntut Universiti Sains Malaysia (USM)...

Kerajaan pertimbang ‘wfh’ secara berperingkat untuk penjawat awam

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan peraturan kerja...

Kerajaan selaras kuota BUDI95 kepada 200 liter mulai 1 April

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyelaraskan kelayakan penggunaan BUDI95...