WASHINGTON – Iran mengumumkan penutupan Selat Hormuz kepada semua kapal tangki minyak dan kapal dagang selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan baharu terhadap beberapa sasaran di negara itu, sekali gus meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara.
Markas Pemerintahan Bersama Tertinggi Tentera Iran turut memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang cuba melalui laluan strategik berkenaan akan ditembak.
Pengumuman itu dibuat selepas tentera AS mengesahkan pihaknya melancarkan serangan terhadap beberapa sasaran di Iran untuk hari kedua berturut-turut.
Komando Pusat AS (CENTCOM) berkata, serangan yang bermula pada jam 5.15 petang waktu New York dilaksanakan sebagai tindak balas terhadap tindakan yang disifatkan sebagai agresif oleh Iran.
Tidak lama selepas itu, media Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di selatan negara berkenaan berhampiran Selat Hormuz, termasuk di bandar pelabuhan Bandar Abbas, Pulau Qeshm serta bandar Minab dan Sirik.
Menurut sumber Iran, beberapa lokasi di Qeshm, Kargan dan Sirik dipercayai terkena serangan peluru berpandu musuh.
Serangan terbaharu itu berlaku sehari selepas AS melancarkan serangan ke atas Iran susulan insiden sebuah helikopter Apache miliknya ditembak jatuh.
Perkembangan itu menunjukkan hubungan Washington dan Tehran kembali tegang walaupun kedua-dua pihak sebelum ini bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada April lalu.
Presiden AS, Donald Trump, menegaskan negaranya akan terus meningkatkan tekanan terhadap Iran sehingga satu perjanjian damai dicapai.
“Kami menyerang mereka semalam dan kami akan menyerang mereka lagi hari ini,” katanya kepada wartawan di Rumah Putih.
Sementara itu, Kementerian Luar Iran menuduh AS menyasarkan infrastruktur awam dalam siri serangan berkenaan.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, pula berkata operasi ketenteraan itu bertujuan memaksa Iran kembali ke meja rundingan bagi mencari penyelesaian kepada konflik yang semakin meruncing.
Dalam perkembangan berkaitan, Agensi Berita Pelajar Iran (ISNA) melaporkan satu delegasi dari Qatar telah tiba di Tehran bagi membincangkan usaha diplomatik untuk meredakan ketegangan dan menamatkan konflik antara kedua-dua negara.
Penutupan Selat Hormuz dijangka memberi kesan besar kepada perdagangan global memandangkan laluan itu merupakan antara saluran penghantaran minyak paling penting di dunia. – AGENSI

