REMBAU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz yang dipandu seorang guru di Kilometer 1, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Legong Ulu, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa yang merupakan murid tahun tiga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Azmi Ali berkata, siasatan awal mendapati guru wanita berusia 42 tahun itu sedang memandu bersendirian dari sebuah sekolah berhampiran menuju ke kawasan PPRT berkenaan ketika insiden berlaku.
Menurutnya, guru terbabit telah terlanggar mangsa yang berada di atas jalan dalam kawasan perumahan tersebut.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati murid darjah tiga berada di kedudukan atas jalan sebelah kanan kawasan PPRT berkenaan, manakala kedudukan SUV berada di hadapan kedudukan mangsa.
“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat. Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

