KUALA LUMPUR – Raja-Raja Melayu mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan krisis takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagai modal politik atau medan perebutan kuasa, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berautoriti mencari penyelesaian mengikut undang-undang dan adat negeri.
Peringatan itu disampaikan menerusi kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, bertarikh 14 Oktober 2026.
Menurut kenyataan itu, sebarang usaha menyelesaikan pertikaian berkenaan perlu dilakukan menerusi saluran yang sah, tertib dan berwibawa, berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Isu yang sedang dihadapi, jangan sama sekali dijadikan bahan politik, modal untuk meraih sokongan atau ruang untuk meningkatkan pengaruh atau medan untuk memenuhi agenda perebutan kuasa,” menurut kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu turut mengingatkan bahawa kenyataan bercanggah dan tidak bertanggungjawab boleh mengeruhkan keadaan, meningkatkan ketegangan, mengelirukan rakyat serta mencemarkan kemuliaan institusi diraja.
Sehubungan itu, semua pihak yang terlibat dalam pertikaian berkenaan diseru mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran serta menghormati adab, adat dan maruah institusi diraja ketika mencari jalan penyelesaian.
Menurut kenyataan itu, perbezaan pendirian hendaklah ditangani secara beradab menerusi semangat syura dan musyawarah, selain memanfaatkan ruang perundingan dengan penuh keikhlasan tanpa merendahkan atau menghina mana-mana pihak.
“Ruang perundingan perlu dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan demi mencapai penyelesaian yang bermaruah tanpa merendah dan menghina mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu turut menegaskan bahawa takhta merupakan amanah besar yang membawa tanggungjawab terhadap negeri dan rakyat. Oleh itu, semangat kekeluargaan, keharmonian masyarakat serta kemuliaan institusi diraja perlu terus dipelihara.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyebarkan khabar yang belum disahkan atau terpengaruh dengan naratif yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
Kenyataan itu turut menekankan kepentingan memahami adat, sejarah dan kerangka perlembagaan Negeri Sembilan bagi mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian.
“Kepentingan Negeri Sembilan, keharmonian rakyat dan kemuliaan institusi diraja hendaklah didahulukan.
“Dalam keadaan seperti ini, sikap terbaik ialah memelihara adab, menghormati adat, menjaga tutur kata dan tidak mencampuri urusan yang bukan bidang kita,” menurut kenyataan berkenaan.
Raja-Raja Melayu turut menyeru semua pihak memberikan ruang dan masa kepada pihak berautoriti untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, pada 14 Oktober 2026, dengan menjunjung titah Raja-Raja Melayu. – Astro Awani
