KUALA LUMPUR – Ada sahaja yang mencuit hati! Kali ini, gelagat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama isteri tercinta, Bella Astillah dan dua anak mereka, Ayden serta Ara berjaya membuatkan ramai tersenyum melihat kemesraan keluarga kecil itu.
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram, Syed Saddiq dilihat melayan kerenah Bella dan anak-anak yang mahu menguji kekuatannya menerusi cabaran kecergasan di rumah.
Lebih menghiburkan, ahli politik berusia 33 tahun itu turut menunjukkan kekuatannya apabila mengangkat Bella bersama anak-anak, sekali gus mengundang gelak tawa mereka sekeluarga.
“Balik parlimen, terus kena buat fitness test versi Keluarga,” tulis Syed Saddiq berseloroh pada ruangan kapsyen.
Bukan sahaja peminat, malah rakan selebriti turut tidak ketinggalan meninggalkan komen apabila melihat aksi manis keluarga berkenaan.
Antaranya, pelawak dan usahawan Shuib Sepahtu yang hanya meninggalkan emoji hati serta ketawa, seolah-olah cukup terhibur melihat gelagat mereka.
Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida turut mencuri perhatian apabila memuji kekuatan Syed Saddiq.
“Kuatnya YB,” katanya ringkas.
Sementara itu, penyanyi Radhi OAG pula berseloroh kononnya video berkenaan bakal membuatkan para suami ‘pening kepala’ apabila isteri masing-masing mula mengharapkan layanan sama.
“Tak masak lagi la bini bini semalaysia harini dapat vitamin family BASS,” tulisnya.
Dalam ruangan komen, ramai netizen mengakui seronok melihat sisi Syed Saddiq yang kini semakin ceria dan kerap berkongsi momen bersama keluarga.
“Ya Allah meriah dah Rumah YB. 1 happy family,” komen seorang pengguna Instagram.
Malah, ada juga yang berseloroh mahu mencari rumah sewa berhampiran kediaman pasangan itu kerana terlalu terhibur melihat kemesraan mereka.
“X skrng ni ada rmh sewa kosong x sebelah rmh yb, aq skit lg nk gila ni tgk dorang sweet sngt,” tulis seorang lagi netizen.
Tidak kurang juga yang menyifatkan perkongsian Syed Saddiq kini lebih santai berbanding sebelum ini yang banyak berkisar mengenai politik dan isu semasa.
Setakat tangkap layar dibuat, video berkenaan sudah meraih lebih 216,000 tanda suka dan ribuan komen daripada pengguna media sosial.
Syed Saddiq dan Bella selamat bergelar suami isteri pada 10 Oktober lalu dalam sebuah majlis pernikahan di Kuala Lumpur.
Pasangan itu kini sedang menghitung hari menjelang majlis persandingan yang dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober ini.
Nampaknya, belum pun tiba hari persandingan, keluarga kecil ini sudah berjaya mencuri hati ramai dengan gelagat spontan dan penuh kasih sayang mereka. – Instagram Syed Saddiq
