KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik popular Indonesia, Nidji berharap rakyat Malaysia dan Indonesia menghentikan pertelingkahan di media sosial susulan ketegangan yang tercetus akibat isu bola sepak antara kedua-dua negara baru-baru ini.
Vokalisnya, Ubay Yusuf berkata, perbezaan pendapat tidak seharusnya menjadi punca hubungan dua negara serumpun yang sudah lama bersahabat dan bersaudara menjadi renggang.
Menurut Ubay atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Nur Ubay, 30, muzik sepatutnya menjadi medium untuk menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang, bukannya membiarkan perselisihan terus memisahkan mereka.
“Harapannya untuk peminat, buanglah sifat perbalahan kita jauh-jauh. Kita datang kita bawa cinta, kebersamaan dan bawa cerita baru untuk boleh kita kenang memori indah untuk seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media NU Fest 2027, hari ini.
Mengulas mengenai pertelingkahan antara pengguna media sosial kedua-dua negara, penyanyi lagu Hapus Aku itu mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu memberi perhatian kepada perkara negatif sehingga melupakan hubungan baik yang telah lama terjalin.
“Jangan terlalu fokus dengan perbalahan. Indonesia dan Malaysia negara jiran, bersahabat dan bersaudara. Jangan sampai ada perbezaan ataupun mahu memecahbelahkan dan memisahkan kita. Harapan kami muzik boleh menyatukan semua,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ubay percaya penggiat seni mempunyai peranan tersendiri untuk meredakan ketegangan, khususnya apabila perbezaan pendapat semakin hangat diperkatakan di media sosial.
Katanya, muzik mampu menjadi titik pertemuan masyarakat kedua-dua negara kerana ia merupakan sesuatu yang boleh dinikmati bersama tanpa mengira perbezaan pandangan.
“Kita sebagai pemuzik, bagaimana cara kita menyatukan banyak perbezaan di antara kita. Banyak sekarang terjadi sama ada perpecahan atau perbezaan pendapat, kita cuba jadi kekuatan seperti menenangkan antara dua rumpun,” katanya.
Sebelum ini, pertelingkahan antara pengguna media sosial Malaysia dan Indonesia tercetus susulan perdebatan mengenai keputusan perlawanan bola sepak, isu pemain naturalisasi serta prestasi pasukan masing-masing dalam kejohanan serantau.
Ketegangan itu turut dikaitkan dengan dakwaan penyebaran kandungan yang menghina institusi diraja dan tokoh negara sehingga mengundang kemarahan sebahagian pengguna media sosial Malaysia.
Sementara itu, Nidji dijadualkan kembali menghiburkan peminat di Malaysia menerusi NU Fest 2027 yang bakal berlangsung di Stadium Merdeka pada 30 Januari tahun depan.
Festival anjuran COMs. Creative Studio dengan kerjasama AKE Seni itu turut menampilkan beberapa kumpulan muzik lain termasuk Masdo, The Changcuters, Dukes, Lokarya, The Beretta’s, Saja dan Monosterio. – KOSMO
