BEIJING – Bukan semua orang berani melihat ke bawah, apatah lagi memanjat tangga tali yang tergantung pada ketinggian kira-kira 1,500 meter di Gunung Qixing, Zhangjiajie, China.
Namun, pengalaman mendebarkan itu menjadi antara tarikan pelancongan ekstrem yang mencuri perhatian pengunjung, khususnya mereka yang mahu menguji keberanian sambil menikmati keindahan alam semula jadi dari kawasan pergunungan.
Menurut laporan VN Express, Gunung Qixing yang terletak di wilayah Hunan menawarkan pengalaman pendakian unik menerusi struktur dikenali sebagai ‘tangga langit’ yang tergantung di kawasan pergunungan tersebut.
Tangga sepanjang 168 meter itu dilaporkan mendapat pengiktirafan Guinness World Records sebagai tangga terpanjang di dunia, sekali gus menjadikannya antara tarikan utama di kawasan berkenaan.
Lebih menarik, struktur tersebut berada pada ketinggian kira-kira 1,500 meter, memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung yang berani mencuba aktiviti mencabar itu.
Berdasarkan maklumat Travel China Guide, pengunjung boleh memilih antara dua laluan pendakian mengikut kemampuan fizikal dan tahap keselesaan masing-masing.
Laluan pertama sepanjang 1.2 kilometer menjadi pilihan kebanyakan pelancong kerana mempunyai tahap kesukaran lebih rendah dan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk diselesaikan.
Laluan berkenaan turut membolehkan pengunjung merasai sendiri pengalaman memanjat tangga langit yang menjadi tarikan utama Gunung Qixing.
Selain aktiviti ekstrem, kawasan Zhangjiajie turut terkenal dengan landskap semula jadi yang menakjubkan, termasuk formasi tiang batu pasir tinggi yang menjadikan wilayah tersebut antara destinasi pelancongan popular di China.
Bagi pencinta aktiviti lasak, pengalaman memanjat tangga yang tergantung tinggi di kawasan pergunungan itu pastinya menawarkan cabaran berbeza berbanding pendakian biasa.
Bagaimanapun, aktiviti seumpama itu memerlukan tahap kecergasan fizikal yang sesuai serta pematuhan terhadap langkah keselamatan ditetapkan pengendali. – KOSMO
