KUANTAN – Murid di Kuantan dan Rompin, Pahang perlu mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) mulai esok susulan keputusan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang menutup sementara semua institusi pendidikan di bawah seliaannya di kedua-dua daerah berkenaan.
Langkah itu diambil selepas keadaan jerebu semakin membimbangkan apabila tiga stesen pemantauan kualiti udara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 1 tengah hari tadi.
Balok Baru, Kuantan mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 161, diikuti Rompin (156) dan Indera Mahkota, Kuantan (123).
Menurut JPN Pahang, penutupan sementara itu akan berkuat kuasa mulai Selasa sehingga keadaan udara kembali selamat dan arahan lanjut dikeluarkan.
“Sepanjang tempoh penutupan, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) hendaklah dilaksanakan melalui kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru,” menurut kenyataan itu hari ini.
JPN Pahang turut mengarahkan semua institusi pendidikan di kedua-dua daerah supaya memantau bacaan IPU secara berterusan selain mematuhi garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, pembukaan semula sekolah dan institusi pendidikan terlibat hanya akan diumumkan melalui saluran rasmi JPN Pahang selepas keadaan kualiti udara berada pada tahap selamat.
Dalam masa sama, pihak sekolah diminta mengehadkan aktiviti yang boleh mendedahkan murid, guru dan warga pendidikan kepada udara tercemar bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat jerebu.
“JPN Pahang mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta seluruh warga pendidikan.
“Pemantauan berterusan akan dilaksanakan bersama PPD Rompin, PPD Kuantan dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan yang diambil bersesuaian dengan perkembangan semasa,” menurut kenyataan itu.
JPN Pahang turut menegaskan bahawa sebarang perkembangan mengenai pengoperasian semula institusi pendidikan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi jabatan berkenaan. – MYBERITA
