KUALA LUMPUR – Murid di seluruh Kuala Lumpur akan kembali mengikuti sesi persekolahan seperti biasa mulai esok selepas keadaan jerebu menunjukkan perkembangan positif dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menurun ke paras bawah 150.
Susulan perkembangan itu, semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibenarkan beroperasi semula, sekali gus menamatkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR).
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) memaklumkan, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan bacaan terkini di kedua-dua stesen pemantauan kualiti udara di ibu negara.
“Keputusan ini dibuat setelah mendapati bacaan akhir IPU mencatatkan paras di bawah 150 di kedua-dua stesen pemantauan kualiti udara di WP Kuala Lumpur, setakat jam 5:00 petang, 12 Oktober 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut JPWPKL, arahan Bekerja dari Rumah (BDR) yang dilaksanakan sebelum ini bagi kawasan terlibat turut ditamatkan berkuat kuasa esok.
Terdahulu, sebahagian institusi pendidikan di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar/Pudu diarahkan tutup sementara susulan bacaan IPU yang mencatatkan tahap tidak sihat.
Bagaimanapun, JPWPKL menegaskan pemantauan terhadap kualiti udara akan diteruskan dengan kerjasama PPD dan institusi pendidikan bagi memastikan sebarang perubahan keadaan dapat ditangani segera.
Pada masa sama, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya terus mengikuti perkembangan semasa serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan anak-anak.
JPWPKL turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta seluruh warga pendidikan kekal menjadi keutamaan dalam setiap keputusan yang dibuat. – MYBERITA
