PETALING JAYA – Pelakon June Lojong menyeru peminat agar tidak menjadikan kekecewaan terhadap keputusan Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) sebagai alasan untuk mempertikaikan kredibiliti barisan juri profesional.
June berkata, setiap keputusan pemilihan perlu dihormati dan orang ramai seharusnya terus memberikan sokongan kepada industri perfileman tempatan secara positif.
“Saya mohon agar semua pihak menghormati pemilihan juri profesional kerana mereka adalah pakar dalam membuat keputusan yang terbaik bagi industri kita,” katanya menerusi aplikasi Threads.
Kenyataan itu hadir selepas nama pelakon filem Polong berkenaan tidak tersenarai dalam lima calon akhir kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, sekali gus mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial.
Sebahagian netizen meluahkan rasa tidak puas hati dan berpendapat mutu lakonan June dalam karya terbaharunya itu sewajarnya mendapat pengiktirafan menerusi pencalonan berkenaan.
Bagaimanapun, June memilih untuk menghargai sokongan yang diterimanya daripada peminat dan menganggap kata-kata semangat mereka sebagai penghargaan yang cukup bermakna.
“Saya amat menghargai segala sokongan yang diberikan oleh semua pihak. Bagi saya, kata-kata semangat dan sokongan kalian itu sudah merupakan satu anugerah besar buat saya,” tulisnya.
Dalam masa sama, June mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu mengikut emosi ketika membincangkan keputusan pencalonan, sebaliknya meraikan kejayaan penggiat seni yang terpilih.
Antara lima pelakon yang tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM35 ialah Zarra Zhaff menerusi Khadam, Sofia Jane (Malam Terlarang), Sara Ali (Libang Libu), Pearly Chua (Mother Bhumi) dan Azira Shafinaz (Tarung Unforgiven).
June turut mengucapkan tahniah kepada semua pelakon yang berjaya mendapat tempat dalam senarai akhir, sambil menyifatkan mereka sebagai penggiat seni yang hebat. – Utusan Malaysia
