LOS ANGELES – Hasrat penyanyi dan pengacara terkenal, Kelly Clarkson untuk membeli barangan di sebuah kedai perhiasan di Brooklyn bertukar menjadi pengalaman mengecewakan apabila mendakwa dirinya dilayan secara biadab oleh seorang pekerja kedai berkenaan.
Menurut laporan Page Six, pelantun lagu Since U Been Gone itu berkongsi pengalaman tersebut menerusi platform X, malah menyamakan layanan diterimanya dengan babak terkenal dalam filem Pretty Woman lakonan Julia Roberts.
Clarkson berkata, dia pada awalnya tertarik untuk mengunjungi kedai Art of Play kerana menganggap tempat itu menarik dan berhasrat membeli barangan yang ditawarkan.
Bagaimanapun, layanan pekerja berkenaan membuatkannya berasa seolah-olah dipandang rendah dan dianggap tidak berkemampuan untuk membeli barangan di situ.
“Anda kelihatan bodoh dan baru sahaja terlepas pelanggan yang besar,” katanya.
Penyanyi yang memenangi musim pertama rancangan American Idol itu turut menyindir kedai berkenaan dengan mengajak orang ramai berkunjung sekiranya mahu merasai layanan serupa seperti watak Julia Roberts dalam filem Pretty Woman.
“Silalah datang ke Art of Play di Brooklyn jika anda ingin dilayan seperti Julia Roberts dalam filem Pretty Woman,” ujarnya.
Sementara itu, usaha Page Six untuk mendapatkan komen daripada pihak kedai berkenaan tidak berhasil. – Utusan Malaysia
