KUALA LUMPUR – Sabah dan Sarawak bakal menerima jumlah peruntukan Persekutuan sebanyak RM34.9 bilion menerusi Belanjawan 2027, dengan kedua-dua negeri itu terus diberi keutamaan dalam agenda pembangunan negara.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sabah diperuntukkan RM18.7 bilion manakala Sarawak menerima RM16.2 bilion, masing-masing meningkat berbanding RM17.6 bilion dan RM15.1 bilion pada tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Menurut Anwar, komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan tanggungjawab nasional yang perlu dilaksanakan secara adil bagi memastikan keperluan pembangunan kedua-dua negeri terus diberi perhatian.
“Selama puluhan tahun, Pemberian Khas tidak seiring dengan keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak. Kerajaan MADANI telah meningkatkan kadar Pemberian Khas sebanyak tiga kali, dengan kadar interim terkini berjumlah 1.5 bilion ringgit,” katanya.
Beliau berkata, bayaran interim berkenaan akan dilunaskan sebelum akhir tahun ini, sementara rundingan bersama kerajaan Sabah dan Sarawak diteruskan bagi memuktamadkan formula tahunan yang adil dan mampan.
Dalam usaha memperluas peluang pendidikan, kerajaan turut menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran kedua-dua negeri itu, sekali gus membolehkan 4,200 pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi setiap tahun.
Sektor infrastruktur turut menerima perhatian apabila RM3.3 bilion diperuntukkan bagi meneruskan projek jaringan jalan raya di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, RM350 juta disediakan untuk penyelenggaraan jalan Persekutuan di kedua-dua negeri, khusus bagi kontraktor kelas G1 hingga G4.
Sementara itu, kerajaan turut memperincikan langkah pembangunan mengikut keperluan negeri di Semenanjung.
Di Johor, pelaksanaan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) di Johor Bahru akan disertai penambahan perkhidmatan bas henti-henti dan Grab Shuttle bagi membantu mengurangkan kesesakan menjelang pembukaan Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Link.
Bagi menangani risiko banjir kilat di Lembah Klang, kerajaan menyediakan RM100 juta untuk pembinaan kolam takungan dan penyelenggaraan sungai, selain menilai keupayaan Empangan Batu dan Klang Gate bagi menghadapi keperluan 30 tahun akan datang bersama Kerajaan Selangor.
Dalam sektor perindustrian pula, potongan cukai sehingga RM5 juta ditawarkan bagi kos pemindahan operasi vendor automotif tempatan ke Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim, Perak.
Pulau Pinang pula diperkukuh sebagai hab kewangan teknologi menerusi Dana Pelaburan Strategik bernilai RM100 juta oleh Khazanah dan InvestPenang bagi menyokong syarikat semikonduktor tempatan.
