SERDANG – Seramai 100 atlet termasuk tiga atlet kebangsaan menyertai Larian Obor Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM), malam tadi, bagi menyemarakkan semangat menjelang temasya yang bakal berlangsung Disember ini.
Acara yang berlangsung di sekitar kampus UPM itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah obor ke lima universiti awam yang akan menjadi tuan rumah bersama AUG 2026.
Larian berkenaan diadakan bersempena Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Kolej UPM Sesi 2026/2027 di Stadium UPM dengan penyertaan atlet, wakil pengurusan universiti dan warga kampus.
Tiga atlet kebangsaan yang turut menjayakan acara itu ialah Muhammad Syafiq Syardi (karate), Nor Sarah Adi (lompat bergalah) dan Muhammad Haziq Muhammad Akhir (olahraga).
Larian bermula dari pintu masuk utama UPM dengan obor dibawa secara bergilir-gilir sebelum berakhir di pentas utama Stadium UPM.
Acara itu dimulakan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Atlet dan Staf, Akademi Sukan UPM, Muhammad Malik Ahmad Tobias, manakala segmen terakhir disertai Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. Shamsul Bahri Hj. Md. Tamrin.
Menurut Shamsul Bahri, penganjuran larian obor itu bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya mencerminkan semangat perpaduan dan sokongan warga universiti terhadap perjuangan atlet negara.
“Larian Obor AUG 2026 bukan sekadar acara simbolik, tetapi membawa semangat perjuangan, perpaduan dan aspirasi seluruh warga universiti untuk melihat atlet negara melakar kejayaan di pentas Asia Tenggara.
“UPM berbangga dapat memainkan peranan dalam menyemarakkan temasya ini, sekali gus memberi inspirasi kepada mahasiswa untuk terus cemerlang dalam bidang sukan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr. Hanafiah Ayub memaklumkan, siri Larian Obor AUG 2026 di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dijangka melibatkan sehingga 2,000 warga universiti.
Malaysia dijadualkan menjadi tuan rumah AUG 2026 dari 10 hingga 19 Disember depan, selepas kali terakhir menganjurkan temasya dwitahunan itu pada 2008, iaitu 18 tahun lalu.
Kejohanan berkenaan dijangka menghimpunkan kira-kira 3,000 atlet dan petugas dari negara Asia Tenggara dengan lima universiti awam bertindak sebagai tuan rumah bersama.
Universiti terlibat ialah UPM, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Selepas UPM, siri Larian Obor AUG 2026 akan diteruskan ke UM, UKM, UPNM dan UiTM bagi memperluas promosi kejohanan serta membangkitkan keterujaan warga kampus menjelang temasya Disember ini. – MYBERITA
