PETALING JAYA – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung di Bukit Jalil esok terpaksa ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara negara.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat atas nasihat dan persetujuan Menteri Belia dan Sukan selepas mengambil kira faktor kesihatan awam serta keselamatan peserta, penganjur dan orang ramai.
Menurut KBS, penangguhan berkenaan diputuskan selepas perbincangan terperinci dengan agensi kerajaan berkaitan bagi menilai kesan penganjuran acara berskala besar ketika keadaan jerebu masih membimbangkan.
“Tarikh baharu penganjuran akan diumumkan kelak, tertakluk kepada pemulihan kualiti udara ke tahap yang selamat bagi aktiviti luar,” menurut kenyataan itu.
Selain acara peringkat kebangsaan, sambutan HSN di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka turut ditangguhkan.
Bagaimanapun, sambutan di Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Perak, Sabah, Sarawak dan Labuan diteruskan mengikut perancangan setakat kenyataan itu dikeluarkan.
KBS menjelaskan, penganjuran HSN di peringkat negeri dan lokasi lain bergantung pada keadaan setempat serta ketetapan pentadbiran masing-masing.
Dalam pada itu, kementerian turut menyeru orang ramai supaya mengehadkan aktiviti fizikal di luar rumah buat sementara waktu serta mematuhi nasihat kesihatan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar.
KBS turut menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung keadaan jerebu yang melanda negara.
“KBS memohon maaf atas kesulitan yang timbul serta merakamkan penghargaan atas pengertian dan kerjasama semua pihak,” menurut kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negara melalui talian 03-8871 3719 atau e-mel jbsn@kbs.gov.my.
