SINGAPURA – Prinsipal Mercedes, Toto Wolff membidas keras teori konspirasi yang mendakwa pasukannya sengaja memberikan layanan istimewa kepada Kimi Antonelli berbanding George Russell, susulan jurang mata kejuaraan antara kedua-dua pelumba itu semakin melebar.
Wolff menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak masuk akal, sambil menegaskan Mercedes tidak mempunyai sebab untuk mensabotaj mana-mana pelumbanya ketika pasukan itu sedang memburu Kejuaraan Pengeluar Formula Satu (F1).
Malah, beliau menyindir individu yang mempercayai teori berkenaan supaya menonton rancangan kanak-kanak berbanding membuat tuduhan tanpa memahami operasi sebenar pasukan.
“Mereka yang berfikir sedemikian langsung tidak berotak. Ia dakwaan yang mengarut sama sekali. Kami pernah berdepan situasi sama dengan peminat Lewis (Hamilton) sebelum ini.
“Adakah mereka fikir saya mempunyai butang khas bertulis ‘enjin George rosak sekarang’? Atau sengaja merugikan pemandu sendiri ketika kami sedang bersaing merebut Kejuaraan Pengeluar? Daripada mereka menonton F1, lebih baik mereka tonton Teletubbies atau Mickey Mouse,” katanya.
Spekulasi itu timbul selepas Antonelli mendahului Russell dengan kelebihan 84 mata dalam kejuaraan pemandu, berikutan kegagalan unit kuasa yang memaksa Russell menamatkan perlumbaan lebih awal buat kali ketiga musim ini ketika Grand Prix (GP) Malaysia.
Mengulas lanjut, Wolff menegaskan Mercedes sentiasa berpegang pada prinsip integriti dan ketelusan, termasuk memastikan kedua-dua pelumbanya menerima jentera serta peluang yang adil untuk bersaing.
Beliau turut menekankan hubungan jangka panjang pasukan dengan kedua-dua pelumba itu sebagai bukti bahawa Mercedes tidak mempunyai kepentingan untuk meminggirkan Russell demi Antonelli.
“Kimi bersama kami sejak berusia 11 tahun dan Russell pula menyertai kami ketika umurnya 17 tahun. Hubungan kami sangat rapat. Jadi, agak menjengkelkan apabila ada segelintir ‘orang gila’ di media sosial yang tidak faham dinamik pasukan melemparkan tuduhan seperti ini.
“Paling penting, George dan Kimi tahu bagaimana pasukan beroperasi dan kami sentiasa memberi peluang yang adil kepada kedua-duanya,” ujarnya.
Wolff turut berkongsi pengajaran daripada perbualannya dengan legenda F1, Alain Prost, mengenai ketegangan politik dalaman yang pernah berlaku ketika Prost bersaing bersama Ayrton Senna.
Pengalaman itu, katanya, menjadi panduan dalam menguruskan hubungan antara pelumba serta memastikan keharmonian pasukan kekal terpelihara ketika persaingan kejuaraan semakin sengit. – KOSMO!
