GEORGE TOWN – Kenaikan bantuan tiket penerbangan FLYSiswa sebanyak RM100 menerusi Belanjawan 2027 mungkin dilihat sebagai jumlah kecil, namun cukup bermakna buat mahasiswa Sabah yang terpaksa menanggung kos perjalanan tinggi untuk pulang bertemu keluarga di kampung halaman.
Alumni Universiti Sains Malaysia (USM), Gulam Nor Ahmad Khan Norzaman berkata, peningkatan bantuan daripada RM400 kepada RM500 itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada mahasiswa Sabah yang melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia, khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah.
Menurutnya, kos tiket penerbangan sering menjadi antara cabaran utama mahasiswa Sabah, terutama ketika musim cuti semester dan perayaan apabila permintaan perjalanan meningkat.
“Bagi mahasiswa Sabah yang menuntut jauh di perantauan, peluang untuk pulang bertemu keluarga amat bermakna. Bantuan ini bukan sekadar subsidi tiket penerbangan, tetapi sedikit sebanyak membantu meringankan kerinduan terhadap keluarga di kampung halaman.
“Walaupun kenaikannya hanya RM100, jumlah itu tetap memberi makna kepada mahasiswa, khususnya mereka yang perlu menguruskan pelbagai perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian,” katanya kepada MYBERITA.
Gulam berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2027 itu turut mencerminkan usaha Kerajaan MADANI dalam membantu meringankan beban kewangan mahasiswa Borneo yang menuntut di Semenanjung.
Katanya, bantuan FLYSiswa yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan turut dilengkapi inisiatif Graduan Rindu Sabah Bantuan Subsidi Penerbangan (GRS SUBFLY) oleh Kerajaan Negeri Sabah.
Beliau berkata, kedua-dua inisiatif itu diharap dapat membantu mahasiswa Sabah merancang perjalanan pulang dengan lebih baik, sekali gus membolehkan mereka memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian.
“Mahasiswa bukan sahaja perlu memikirkan soal yuran pengajian, makanan dan tempat tinggal, malah kos perjalanan pulang yang kadangkala boleh mencecah ratusan ringgit, terutama pada musim perayaan.
“Jadi, usaha kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menyediakan bantuan seperti ini amat dihargai kerana ia membantu mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi mahasiswa,” katanya.
Dalam pada itu, Gulam berharap agar bantuan berkenaan dapat diteruskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa, termasuk memastikan proses permohonan serta penebusan subsidi lebih mudah dan mesra mahasiswa.
Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Siswa Siswi Sabah (PERSIS) USM, Mohd Firdaus Mohd Talib berkata, mahasiswa Sabah di universiti berkenaan menyambut baik pengumuman kenaikan bantuan FLYSiswa dan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan.
“Penuntut Sabah di USM amat teruja dan bersyukur dengan pengumuman kenaikan bantuan FLYSiswa ini kerana sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban kos perjalanan pulang ke negeri asal,” katanya.
Menurutnya, inisiatif tersebut membuktikan kebajikan mahasiswa Sabah yang berjauhan daripada keluarga terus mendapat perhatian, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan sepanjang pengajian.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peningkatan bantuan tiket penerbangan FLYSiswa daripada RM400 kepada RM500 mulai 2027 bagi membantu mobiliti mahasiswa yang perlu melakukan perjalanan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. – MYBERITA
