PETALING JAYA – Pendaftaran baharu model dan varian Chery Omoda 5 yang berpotensi terlibat dalam isu keselamatan ditangguhkan sementara oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan insiden gandar belakang tercabut yang tular di Johor Bahru, minggu lalu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya turut menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi model dan varian berkaitan sehingga siasatan teknikal selesai serta risiko keselamatan dikenal pasti.
Menurutnya, tindakan itu merupakan langkah pencegahan awal bagi melindungi pengguna jalan raya sementara penilaian lanjut dijalankan.
“JPJ memandang serius insiden tular melibatkan sebuah kenderaan Chery Omoda 5 yang berlaku di Johor Bahru, minggu lalu, sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan kenderaan berkenaan.
“Sebagai langkah pencegahan awal, JPJ akan menggantung sementara VTA yang berkaitan, sekali gus menangguhkan pendaftaran baharu Chery Omoda 5 sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penggantungan itu dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian yang berpotensi terjejas, bukannya secara menyeluruh tanpa mengambil kira skop isu keselamatan yang sedang disiasat.
Dalam masa sama, Chery Malaysia diarahkan mengenal pasti semua unit yang berkemungkinan terjejas berdasarkan nombor komponen, kelompok pengeluaran, nombor casis (VIN) serta parameter teknikal berkaitan.
Aedy berkata, proses pemanggilan semula perlu dilakukan terhadap semua kenderaan yang dikenal pasti berisiko bagi membolehkan pemeriksaan dan tindakan pembetulan sewajarnya dilaksanakan.
JPJ turut menjalankan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan Chery Omoda 5, termasuk pemeriksaan terhadap pembekal komponen gandar yang berkaitan.
“Audit itu merangkumi pematuhan amalan pengilangan yang baik (GMP), sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan serta tahap keselamatan komponen yang digunakan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa pengeluar bertanggungjawab memastikan setiap kenderaan yang dipasarkan memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal ditetapkan.
Penggantungan VTA itu hanya akan ditarik balik selepas semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya serta mendapat pengesahan teknikal daripada JPJ bahawa risiko keselamatan telah ditangani.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman insiden sebuah kenderaan Chery yang dilaporkan mengalami kejadian gandar belakang tercabut di kawasan Tebrau, Johor Bahru, sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan model berkenaan. – KOSMO!
