KUALA LUMPUR – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpendapatan bulanan sehingga RM3,000 bakal menikmati kelonggaran pembayaran balik pinjaman menerusi inisiatif Belanjawan 2027, termasuk penangguhan bayaran dan kadar minimum RM50 sebulan.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, langkah berkenaan dijangka membantu meringankan beban kewangan peminjam, khususnya golongan berpendapatan rendah, selain menggalakkan pembayaran balik pinjaman secara konsisten.
Menurutnya, peminjam yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan layak memohon penangguhan bayaran balik sepanjang 2027, manakala mereka yang memperoleh pendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 sebulan hanya perlu membayar sekurang-kurangnya RM50 sebulan.
“Kerajaan menyediakan inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN pada tahun 2027 yang akan memanfaatkan lebih 400,000 peminjam dan bayaran balik minimum RM50 sebulan bagi peminjam berpendapatan rendah.
“Pelaksanaan inisiatif ini tertakluk kepada pengesahan maklumat pendapatan melalui semakan silang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norliza berkata, kerajaan turut menyediakan diskaun sebanyak 10 peratus kepada peminjam aktif yang tidak mempunyai tunggakan serta membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur.
Katanya, insentif itu bertujuan menggalakkan peminjam meneruskan pembayaran mengikut kemampuan masing-masing, sekali gus mengurangkan risiko tunggakan pinjaman pendidikan.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut memperkenalkan potongan cukai kepada majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja untuk tempoh Januari 2027 hingga Disember 2028.
“Inisiatif ini menggalakkan penglibatan majikan dalam membantu mengurangkan beban hutang pekerja sekali gus memperkukuh kebajikan mereka,” katanya.
Inisiatif berkenaan diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan Madani Kelima Tahun 2027. – KOSMO!
