LIPIS – Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, mengalami kecederaan di bahagian dada dan perut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU), semalam.
Kejadian berhampiran Kechau Tui itu berlaku ketika Siti Zailah, 63, bersama anak perempuannya berusia 26 tahun dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan, menuju Kuala Lumpur atas urusan kerja.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila anak perempuan Siti Zailah yang memandu SUV berkenaan hilang kawalan sebelum kenderaan itu terbabas lalu melanggar penghadang jalan.
Menurutnya, Siti Zailah kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis bagi mendapatkan rawatan, manakala anak perempuannya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ahli Parlimen itu mengalami kecederaan di bahagian dada serta perut. Dia segera dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Siti Zailah pernah mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan membabitkan sebuah trak pikap di Jalan Bukit Antarabangsa, Selangor, dua tahun lalu. – Utusan Malaysia
