KUALA LUMPUR – Kepimpinan bukan diukur berdasarkan kuasa atau jawatan yang disandang, sebaliknya melalui karakter, integriti dan keberanian seseorang untuk memikul tanggungjawab, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, pemimpin mahasiswa perlu memahami bahawa kedudukan yang diberikan kepada mereka merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, khususnya dalam memperjuangkan kebajikan dan kepentingan pelajar.
“Leadership is not about how powerful you are. Leadership to me is about character and integrity,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam sesi Voice of Tomorrow: A Conversation on Leadership and Nation Building sempena IFUTURE 2026.
Menurut beliau, mahasiswa tidak seharusnya menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab menangani isu di kampus kepada pihak kerajaan, kementerian atau pentadbiran universiti, sebaliknya perlu mengambil inisiatif untuk mencari penyelesaian.
Mengulas isu keganasan berasaskan gender, beliau mencabar pemimpin mahasiswa supaya menilai usaha yang telah dilaksanakan di universiti masing-masing bagi menangani masalah berkenaan.
Beliau mempersoalkan sama ada persatuan mahasiswa menyediakan platform perbincangan, menjemput penceramah atau bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO) untuk meningkatkan kesedaran mengenai keganasan serta prosedur menangani penderaan.
“Sebagai pemimpin muda, anda perlu mengambil tanggungjawab hari ini. Menolak tanggungjawab kepada kerajaan, kementerian, dekan atau fakulti merupakan jalan mudah untuk melepaskan diri,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa universiti merupakan ruang penting untuk mahasiswa mempelajari realiti kehidupan, termasuk memahami isu sosial dan membina keberanian untuk bertindak apabila berhadapan dengan ketidakadilan.
Bagi menggambarkan kepentingan tindakan kolektif, Azalina membangkitkan satu insiden seorang wanita yang dibunuh oleh teman lelakinya di rumah, sedangkan rakan serumah mangsa dikatakan mengetahui penderaan yang berlaku secara berulang.
Beliau berkata, sikap berdiam diri apabila menyedari seseorang sedang didera tidak seharusnya dinormalisasikan, sebaliknya masyarakat perlu berani bersuara dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Jangan kita duduk dalam kampus, melihat penderaan berlaku tetapi memilih untuk berdiam diri. Tidak. Anda perlu bangkit dan menghentikannya kerana perkara itu salah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan mahasiswa supaya tidak membiarkan individu yang mempunyai jawatan atau kuasa menggunakan kedudukan mereka untuk menindas orang lain.
Menurutnya, keberanian untuk mempertahankan perkara yang benar memerlukan kesediaan menghadapi kritikan, termasuk daripada rakan sendiri, terutama apabila seseorang pemimpin mengambil pendirian yang tidak disenangi orang lain.
Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan bukan sekadar penampilan atau kehadiran dalam sesuatu program, tetapi dibuktikan melalui tindakan ketika berhadapan dengan cabaran.
“Kalau kita berani bercakap, kita juga mesti bersedia menerima kritikan. Itulah sebenarnya kepimpinan,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, Azalina menyeru mahasiswa supaya berani berfikir secara kritis, menyuarakan pandangan dan mempertahankan prinsip yang diyakini benar.
Beliau turut mengingatkan golongan muda agar mengamalkan prinsip walk the talk, iaitu memastikan setiap perkara yang diperkatakan diterjemahkan melalui tindakan, sekali gus membina kepimpinan yang berintegriti dan bertanggungjawab. – MYBERITA
