ALOR SETAR – Seorang penjawat awam wanita disyaki mempunyai kepentingan dalam dua syarikat yang dicadangkan bagi membekalkan barangan dan perkhidmatan bernilai kira-kira RM30,000 sempena kejohanan sukan antarabangsa di Langkawi pada 2023.
Suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Langkawi.
Sumber memaklumkan, siasatan awal mendapati wanita berkenaan dipercayai menyalahgunakan kedudukan dengan mencadangkan dua syarikat yang dimiliki individu sama bagi urusan pembekalan tersebut.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 2023 dengan mencadangkan dua syarikat yang dimiliki individu sama dan dia dipercayai mempunyai kepentingan dalam kedua-dua syarikat berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Utusan Malaysia
