KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang tampil membantu menghantar mangsa kemalangan di Jalan Kuching ke hospital berkongsi detik pilu apabila mendengar rayuan seorang bapa yang tidak putus-putus memanggil nama anak perempuannya, Asiah Ahmad Syahir, 5, sepanjang perjalanan mendapatkan rawatan.
Kejadian itu dikongsikan pengguna Threads, Muhammad Auzaie, yang kebetulan melalui lokasi kemalangan ketika dalam perjalanan pulang selepas melawat isteri dan anaknya di hospital.
Menurutnya, dia pada mulanya hanya mahu melihat keadaan di lokasi kejadian sebelum mengambil keputusan untuk membantu selepas ternampak seorang bapa memeluk anaknya sambil menangis dan meminta pertolongan.
Tanpa berlengah, Auzaie menawarkan diri untuk membawa kedua-dua beranak itu ke hospital menggunakan motosikalnya.
“Saya terbayangkan anaknya yang mungkin sebaya dengan anak saya sendiri. Tanpa berlengah, saya terus menawarkan diri untuk menghantar mereka ke hospital dengan hanya menaiki motosikal,” katanya menerusi perkongsian di Threads.
Sepanjang perjalanan, Auzaie menyaksikan sendiri usaha bapa berkenaan yang berulang kali memanggil nama anaknya dengan harapan kanak-kanak itu memberikan respons.
“Asiah, bangun, bangun, Asiah… kita nak pergi hospital. Kita dah nak sampai hospital dah ini,” demikian rayuan bapa mangsa seperti dikongsikan Auzaie.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan parah di kepala.
Terdahulu, kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 3.44 petang apabila sebuah Perodua Bezza yang dinaiki mangsa bersama bapanya dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta BYD Seal.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika aliran trafik bergerak perlahan.
Pelanggaran itu turut melibatkan sebuah motosikal, manakala bapa mangsa yang berusia 30 tahun mengalami luka pada tangan kanan.
Seorang penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun turut mengalami kecederaan di kepala dan menerima rawatan di HKL.
Polis turut mengesan pemandu BYD Seal berusia 24 tahun yang dilaporkan meninggalkan lokasi selepas kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO!
