KUALA LUMPUR – Budaya menjadikan keadaan khayal akibat penyalahgunaan dadah sintetik dikenali sebagai ‘piu piu’ sebagai bahan hiburan di media sosial dikhuatiri mendorong lebih ramai golongan muda, termasuk remaja bawah umur, untuk mencuba bahan terlarang itu.
Lebih membimbangkan, tindakan segelintir individu merakam dan memuat naik video ketika berada dalam keadaan khayal berisiko mewujudkan persepsi bahawa penyalahgunaan dadah merupakan perkara biasa, sekali gus mengaburkan kesan buruknya terhadap kesihatan dan masa depan.
Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (MASAC), Raja Azizan Suhaimi Raja Abd. Latiff berkata, trend berkenaan perlu dipandang serius kerana kandungan yang tular berpotensi mempengaruhi tingkah laku penonton, khususnya golongan muda.
“Kita bimbang orang muda yang menontonnya mendapat gambaran seolah-olah perbuatan itu menyeronokkan dan tidak membawa akibat buruk.
“Ia boleh mewujudkan pembelajaran sosial di mana seseorang itu belajar dan meniru tingkah laku yang mereka lihat,” katanya.
Menurut beliau, individu yang berada di bawah pengaruh dadah juga berisiko membuat keputusan tanpa pertimbangan sewajarnya berbanding ketika berada dalam keadaan sedar.
Keadaan itu bukan sahaja boleh membahayakan diri sendiri, malah berpotensi menjejaskan keselamatan orang lain sekiranya individu terbabit melakukan tindakan di luar kawalan.
Raja Azizan berkata, pengaruh media sosial turut memainkan peranan apabila kandungan berbentuk ekstrem atau luar biasa sering mendapat perhatian tinggi daripada pengguna.
Katanya, keinginan mendapatkan tontonan, komen dan pengikut dipercayai menjadi antara faktor sesetengah individu sanggup berkongsi rakaman diri dalam keadaan khayal.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan terdapat juga individu yang tidak menyedari diri mereka sedang dirakam kerana berada dalam keadaan separa sedar.
Beliau turut menegaskan bahawa media sosial bukan satu-satunya punca penyalahgunaan dadah, sebaliknya platform berkenaan boleh mempercepat penyebaran kandungan yang akhirnya menyebabkan tingkah laku berbahaya dianggap normal.
Sehubungan itu, beliau menggesa pendidikan pencegahan dadah diperkukuh dengan memberi penekanan terhadap kesan bahan terlarang kepada fungsi otak, emosi dan tingkah laku, bukan sekadar menyampaikan larangan mengambil dadah.
Ibu bapa juga disaran lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak, manakala sekolah, institusi pengajian tinggi dan pertubuhan masyarakat perlu memainkan peranan bersama dalam usaha pencegahan.
Pada masa sama, pendekatan menangani penyalahgunaan dadah perlu merangkumi intervensi awal, kaunseling, rawatan dan pemulihan bagi membantu individu yang sudah terjebak keluar daripada masalah berkenaan.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak membantu meningkatkan populariti kandungan yang mempromosikan penyalahgunaan dadah melalui tontonan atau interaksi di media sosial. – KOSMO
