KUALA LUMPUR – Mahasiswa tidak sepatutnya dikenakan tindakan atau pendakwaan hanya kerana menyuarakan pandangan dan kritikan terhadap kerajaan, termasuk Perdana Menteri sendiri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kebebasan bersuara dan pemikiran kritis merupakan antara asas penting dalam pendidikan tinggi yang perlu dipertahankan bagi melahirkan generasi mahasiswa berani menyuarakan kebenaran.
Sehubungan itu, beliau mahu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil tindakan segera terhadap mana-mana peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dilihat boleh menyekat kebebasan serta kegiatan mahasiswa.
“Tiada siapa akan didakwa hanya kerana idea dan kritikan mereka, termasuk jika pemimpin mahasiswa memilih untuk mengkritik Perdana Menteri. Itu bukan satu jenayah.
“Anda perlu mempertahankan pendirian anda, tetapi mengkritik dasar kerajaan ini bukan satu jenayah,” katanya ketika berucap merasmikan program iFUTURE 2026 di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.
Anwar berkata, peruntukan undang-undang yang boleh disalahgunakan untuk menyekat suara mahasiswa perlu dipinda atau dimansuhkan supaya institusi pengajian tinggi terus menjadi medan percambahan idea dan perbahasan secara terbuka.
Menurutnya, mahasiswa perlu diberikan ruang untuk berfikir secara kritis, termasuk menilai kelemahan dasar kerajaan tanpa dibayangi kebimbangan terhadap tindakan yang mungkin dikenakan.
Beliau turut mengingatkan bahawa mahasiswa bukan sekadar kelompok yang dipersiapkan untuk menjadi pemimpin masa depan, sebaliknya mempunyai tanggungjawab memimpin masyarakat pada masa kini.
“Mengapa kita bercakap tentang pemimpin masa depan? Apa yang membuatkan anda fikir golongan muda bukan pemimpin pada hari ini?” katanya.
Mengimbas pengalamannya sebagai aktivis mahasiswa, Anwar berkata, beliau sendiri pernah mempersoalkan tanggapan bahawa golongan muda hanya layak memimpin apabila mencapai usia tertentu.
Katanya, mahasiswa perlu memainkan peranan sebagai suara hati masyarakat dalam memperjuangkan keadilan serta menolak rasuah, penindasan dan salah guna kuasa.
Dalam pada itu, beliau mengakui mahasiswa tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, namun tanggungjawab pendidik dan pemimpin adalah untuk memberikan teguran serta bimbingan, bukannya terus menghukum mereka.
Anwar berkata, pemimpin negara juga tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan, malah sejarah membuktikan terdapat penyelewengan yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.
Menurutnya, dana berkenaan sepatutnya digunakan untuk menyediakan kemudahan pendidikan lebih baik kepada generasi muda dan bukannya diselewengkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Justeru, beliau berharap mahasiswa yang menyertai iFUTURE 2026 memanfaatkan platform berkenaan untuk bertukar pandangan, mengemukakan cadangan dan menegur kelemahan yang dikenal pasti dalam pentadbiran negara.
Beliau turut menyatakan kesediaan menerima teguran serta pandangan mahasiswa bagi memastikan usaha penambahbaikan dapat dilaksanakan secara bersama. – MYBERITA
