JAKARTA – Helah seorang pelajar universiti menyembunyikan empat kilogram (kg) syabu di dalam dinding khas beg pakaian terbongkar selepas pemeriksaan kastam di Terminal Ketibaan Feri Antarabangsa Teluk Nibung, Tanjung Balai, Indonesia, Sabtu lalu.
Suspek lelaki berusia 21 tahun yang dikenali sebagai DO itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang waktu tempatan, sejurus tiba dengan feri dari Port Dickson, Malaysia.
Menurut laporan portal berita Kumparan, suspek yang berasal dari Medan Denai itu dikesan selepas pegawai kastam menjalankan pemprofilan penumpang sebelum pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas sinar-X menemukan imej mencurigakan pada beg pakaian dibawanya.
Ketua Pejabat Cukai dan Kastam Teluk Nibung berkata, pemeriksaan lanjut yang dilakukan di hadapan suspek menemukan lapan bungkusan plastik lutsinar berisi bahan kristal putih yang disembunyikan secara rapi.
“Pemeriksaan fizikal secara terperinci dengan disaksikan sendiri oleh suspek menemukan lapan bungkusan plastik lutsinar mengandungi kristal putih yang disembunyikan secara rapi di dalam dinding khas beg pakaian suspek.
“Ujian saringan menggunakan alat pengesan mengesahkan kristal putih ini adalah methamphetamine atau syabu dengan berat keseluruhan mencecah 4,000 gram,” katanya.
Penemuan itu sekali gus menggagalkan cubaan membawa masuk dadah berkenaan ke Indonesia melalui laluan feri antarabangsa yang menghubungkan kedua-dua negara.
Susulan penahanan itu, suspek bersama barang kes termasuk telefon bimbit, tiket perjalanan dan pasport diserahkan kepada Polis Resor Tanjung Balai untuk tindakan lanjut.
Pihak berkuasa Indonesia kini menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan. – MYBERITA
