ISKANDAR PUTERI – Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun bermain di taman permainan bertukar detik mencemaskan apabila dia diserang sekumpulan lapan anjing liar di Lima Kedai, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian mata, leher, kepala dan badan selepas diserang haiwan berkenaan berhampiran sebuah kawasan perumahan flat kos rendah.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Lebih membimbangkan, kumpulan anjing liar sama dipercayai turut bertindak agresif terhadap seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di kawasan berkenaan kira-kira sembilan jam sebelum kejadian.
Difahamkan, remaja itu terserempak dengan lapan anjing berkenaan ketika keluar membeli barangan di sebuah kedai runcit berhampiran kira-kira pukul 6 pagi.
Bagaimanapun, dia berjaya menghalau haiwan terbabit dan terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang amat membimbangkan, khususnya terhadap keselamatan kanak-kanak dan penduduk setempat.
Beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan melaksanakan langkah berkesan bagi menangani masalah anjing liar yang semakin mengancam keselamatan orang awam.
Pandak turut menekankan kepentingan memastikan kawasan kemudahan awam, termasuk taman permainan di kawasan perumahan, selamat digunakan penduduk.
Beliau yang turut melawat mangsa berharap tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Insiden terbaharu itu berlaku selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Nur Khaira Wafiqah, dilaporkan parah akibat diserang lima anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat pada 5 September lalu.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala, pipi dan badan.
Kedua-dua kejadian itu sekali lagi menimbulkan kebimbangan mengenai ancaman anjing liar, terutama di kawasan perumahan dan lokasi yang sering menjadi tumpuan kanak-kanak. – KOSMO
