JOHOR BAHRU – Bukan kerana cuaca sejuk seperti di Cameron Highlands, sebaliknya jerebu tebal menyebabkan pemandangan sekitar bandar raya Johor Bahru kelihatan samar apabila bangunan dan kawasan sekitarnya diselubungi udara berkabus.
Keadaan itu sekali gus mengubah panorama bandar raya berkenaan yang kini berdepan masalah pencemaran udara, dengan beberapa kawasan di Johor terus merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), stesen Larkin di Johor Bahru mencatatkan bacaan IPU 159 pada pukul 10 pagi tadi sebelum menurun sedikit kepada 158 pada pukul 2 petang.
Walaupun menunjukkan sedikit penurunan, bacaan berkenaan masih berada dalam kategori tidak sihat, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan penduduk khususnya golongan berisiko.
Selain Johor Bahru, beberapa kawasan lain turut terjejas termasuk Kota Tinggi, Pasir Gudang, Pengerang, Tangkak, Batu Pahat dan Kluang.
Kota Tinggi antara kawasan yang mencatatkan pencemaran udara lebih tinggi apabila merekodkan bacaan IPU 170 pada pukul 10 pagi.
Susulan keadaan itu, kerajaan Johor mempergiat penyelarasan pengurusan jerebu dengan memberi perhatian khusus terhadap keselamatan murid serta pengoperasian sekolah di kawasan terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, keselamatan dan kesihatan murid menjadi keutamaan dalam setiap keputusan berkaitan penutupan atau pembukaan semula sekolah.
Menurutnya, perkara berkenaan dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jerebu Negeri Johor yang dipengerusikannya pagi tadi bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta agensi berkaitan.
“Antara langkah yang diberi perhatian ialah pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi memperkukuh penyelarasan antara agensi, selain penubuhan Pasukan Petugas Khas JPN Johor untuk memantau perkembangan jerebu dan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) sebelum murid kembali ke sekolah. Pemantauan dan penilaian situasi jerebu juga dicadangkan dilaksanakan setiap hari menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri pada pukul 12 tengah hari bagi memastikan keputusan dibuat berdasarkan perkembangan semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad Naqib berkata, sebarang keputusan berkaitan pengoperasian sekolah perlu dimaklumkan lebih awal bagi membolehkan ibu bapa, penjaga, guru dan pihak sekolah membuat persediaan sewajarnya.
Katanya, keputusan berkenaan juga tertakluk kepada prosedur serta ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Kita tidak mahu anak-anak terdedah kepada risiko kesihatan yang boleh dielakkan. Namun, dalam masa yang sama, kita juga mahu memastikan kelangsungan pendidikan mereka tidak terjejas lebih daripada yang diperlukan,” katanya.
Beliau menjelaskan, penilaian situasi jerebu tidak hanya bergantung kepada bacaan IPU, sebaliknya turut mengambil kira keadaan persekitaran, risiko kesihatan, keselamatan murid dan tahap kesiapsiagaan semua pihak. – KOSMO
