KUANTAN – Hanya sekitar lima daripada 10 wanita di Pahang terlibat dalam aktiviti sukan apabila kadar penyertaan golongan itu mencatatkan 47.8 peratus berbanding lelaki sebanyak 64 peratus.
Perbezaan sebanyak 16.2 mata peratusan itu memperlihatkan jurang ketara penglibatan sukan antara kedua-dua jantina, sekali gus memberi cabaran kepada kerajaan negeri untuk memperluaskan budaya hidup aktif khususnya dalam kalangan wanita.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, usaha memperkasakan budaya bersukan perlu diteruskan bagi menggalakkan lebih ramai wanita menjadikan aktiviti fizikal sebagai rutin kehidupan.
Menurutnya, berdasarkan Indeks Budaya Sukan 2024 yang dibentangkan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), tahap budaya bersukan di Pahang secara keseluruhannya masih berada pada tahap sederhana iaitu 53.9 peratus.
“Jurang sebanyak 16.2 mata peratusan itu menunjukkan budaya bersukan dalam kalangan wanita perlu diperkasakan bagi memastikan lebih ramai golongan itu menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada gaya hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Negeri Pahang di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang, di sini.
Fadzli berkata, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Majlis Sukan Pahang serta Majlis Rekreasi Pahang kini giat melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan dan rekreasi.
Katanya, antara pendekatan yang mendapat sambutan menggalakkan ialah aktiviti luar seperti mendaki, berlari dan program rekreasi yang memberi peluang kepada masyarakat untuk bersukan dalam suasana lebih santai.
“Kalau kita tengok Majlis Rekreasi Pahang, sekarang ia fokus pada program-program outdoor seperti hiking, larian dan sebagainya. Jabatan Belia dan Sukan juga sudah melaksanakan program yang mendapat sambutan cukup baik. Setiap kali cabaran mendaki 11 puncak itu, orang akan minta dengan saya nak sertai sebab penuh,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sambutan terhadap program Cabaran Mendaki 11 Puncak amat memberangsangkan apabila penyertaan yang ditawarkan sering mendapat permintaan tinggi sehingga semua tempat dipenuhi.
“Memang dapat sambutan. Untuk cabaran 11 puncak ini, tinggal dua puncak lagi. Tahun depan kita akan buat lebih meriah,” katanya.
Beliau berharap penganjuran program sukan dan rekreasi secara berterusan dapat menarik lebih ramai masyarakat, khususnya wanita, untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal sekali gus meningkatkan tahap budaya bersukan di Pahang. – MalaysiaGazette
