PERMATANG PAUH – Penemuan mayat lelaki berbalut kain di dalam longkang berhampiran sebuah kedai makan mengejutkan orang ramai di sekitar Pasar Awam Sama Gagah, di sini, kira-kira pukul 7 pagi tadi.
Mayat lelaki yang dipercayai berusia lingkungan 50-an dan berbadan kurus itu ditemukan dalam keadaan mencurigakan, namun identitinya masih belum dikenal pasti setakat ini.
Seorang pengunjung pasar awam yang dikenali sebagai Azmi, berusia lingkungan 40-an, berkata dia menyedari penemuan itu sejurus tiba di lokasi untuk membeli sarapan pagi.
Menurutnya, keadaan longkang yang kecil berbanding saiz mayat menimbulkan persoalan mengenai bagaimana lelaki terbabit boleh berada di situ.
“Kalau tengok saiz longkang itu (tempat mayat ditemukan) kecil sahaja berbanding saiz mayat. Jadi, nampak seolah-olah mayat tersebut sengaja cuba disumbat atau disorokkan di situ,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung penemuan berkenaan. – Utusan Malaysia
