KAJANG – Seorang penghantar makanan bersama rakannya membantu membawa seorang ibu ke lokasi kemalangan selepas wanita itu nekad mendapatkan anaknya yang terbabit dalam nahas motosikal dan lori di Lebuh Raya Cheras-Kajang, petang semalam.
Lebih memilukan, wanita berkenaan dipercayai tidak mengetahui anaknya, Muhammad Arifat Shaion, 23, sudah meninggal dunia ketika dia menerima panggilan memaklumkan kejadian itu.
Kisah berkenaan tular di media sosial selepas satu rakaman video memaparkan wanita itu tiba di lokasi kejadian dengan menaiki motosikal penghantar makanan berikutan kesesakan lalu lintas yang teruk.
Menurut ahli keluarga mangsa, wanita itu yang dalam perjalanan dari Kajang menuju Kuala Lumpur dipercayai terlihat tubuh anaknya yang sudah ditutup kain dari seberang lebuh raya sebelum bertindak meminta bantuan untuk ke lokasi kejadian.
“Makteh dapat panggilan mengatakan anaknya kemalangan tetapi dia tidak dimaklumkan yang anaknya sudah meninggal dunia. Cuma dia diminta segera datang tengok,” tulis pengguna media sosial, @lyana921.
Sementara itu, penghantar makanan yang membantu wanita terbabit turut berkongsi pengalamannya selepas melihat wanita itu membuka pintu kereta ketika kesesakan lalu lintas.
Menurut pengguna dikenali sebagai @jalal_ruslan, wanita itu memberitahu anaknya terbabit dalam kemalangan dan mahu berjalan kaki ke lokasi kejadian kerana kenderaan tidak bergerak.
“Terus aku dan kawan aku angkut mak cik dan kawan dia naik motosikal ke lokasi kemalangan,” katanya menerusi ruangan komen.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira pukul 6 petang semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal dari Kuala Lumpur menuju Kajang dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan di Kilometer 13.1 Lebuh Raya Cheras-Kajang.
“Pada masa sama, sebuah lori yang sedang bergerak lurus dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa yang berada di atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori terbabit masih belum membuat laporan polis setakat kenyataan itu dikeluarkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Polis turut mengesan saksi kejadian, termasuk individu yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka atau video ketika melalui kawasan berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd. Zakria menerusi talian 012-326 8496. – KOSMO
