KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelaskan keputusannya untuk tidak menyertai debat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dengan menyifatkan penyertaan dalam debat berkenaan sebagai berpotensi memberikan “publisiti murah” kepada pihak tertentu.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira usaha yang telah dilaksanakan bersama pasukannya sepanjang tempoh pentadbiran bagi memastikan pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan negeri dapat direalisasikan untuk manfaat rakyat Johor.
Menurutnya, beliau menyedari kepimpinannya mempunyai kelemahan, namun berpandangan bahawa rakyat Johor mempunyai ruang untuk menilai sendiri prestasi kerajaan negeri berdasarkan dasar, tindakan dan hasil kerja yang telah dilaksanakan.
“I don’t think it was fair for me to share that limelight with those who are coming into the state of Johor, trying to get cheap publicity,” katanya ketika menjawab soalan mengenai keputusannya tidak menyertai debat berkenaan.
Onn Hafiz turut menegaskan bahawa prestasi seseorang pemimpin tidak seharusnya diukur berdasarkan kebolehannya berdebat atau kenyataan yang disampaikan semata-mata.
Sebaliknya, beliau berpandangan bahawa pemimpin perlu dinilai berdasarkan tindakan, hasil kerja dan cara mereka berkhidmat kepada rakyat secara keseluruhan.
“Leaders should not be judged based on debates. Leaders should be judged based on what they do and how they serve the rakyat as a whole,” katanya.
Beliau turut menceritakan bahawa terdapat pihak yang menasihatinya supaya tidak membuang masa dengan debat berkenaan kerana masih banyak perkara lain yang memerlukan perhatiannya.
Bagaimanapun, Onn Hafiz berkata, beliau memilih untuk memberikan tumpuan kepada usaha yang telah dilaksanakan bersama pasukannya sejak mengambil alih pentadbiran negeri.
JOHOR PERLU KEKALKAN MOMENTUM PERTUMBUHAN EKONOMI
Dalam sesi perbincangan sama, Onn Hafiz turut menyentuh kepentingan kedudukan strategik Johor, kekuatan sumber negeri dan keperluan melakukan transformasi ekonomi bagi memastikan negeri itu terus berkembang sebagai antara pemacu utama ekonomi negara.
Beliau menjelaskan bahawa agenda pembangunan Johor memerlukan perancangan jangka panjang, khususnya dalam usaha mengubah struktur ekonomi negeri supaya tidak hanya bergantung pada kelebihan geografi dan sumber sedia ada.
Menerusi agenda Maju Johor 2030, kerajaan negeri menetapkan sasaran untuk memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan berkualiti dan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pembangunan yang lebih menyeluruh.
Johor merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.0 peratus pada 2025, tertinggi dalam kalangan negeri di Malaysia, dengan nilai ekonomi berjumlah RM170.9 bilion berbanding RM158.3 bilion pada 2024. Angka itu turut mengatasi pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.2 peratus.
Pencapaian berkenaan menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi Johor, namun cabaran seterusnya adalah memastikan pertumbuhan itu dapat dikekalkan dan diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti serta manfaat yang dirasai rakyat.
Dalam konteks itu, Johor menyasarkan nilai KDNK sebanyak RM260 bilion menjelang 2030, selain mewujudkan lebih 200,000 peluang pekerjaan baharu melalui Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP), yang dilancarkan pada Jun 2026 sebagai sebahagian daripada agenda Maju Johor 2030.
Kenyataan Onn Hafiz mengenai debat PRN Johor itu dikongsikan ketika sesi Towards a Futuristic Nation: Leadership, Innovation and Transformation sempena hari ketiga program iFUTURE 2026, yang turut menampilkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, serta Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dengan Tuan Haji Nazri bertindak sebagai pengacara. – MYBERITA
