KATHMANDU – Lebih 100 pendaki asing berdepan kesukaran meneruskan perjalanan di kawasan pergunungan Nepal selepas banjir Sungai Budhi Gandaki memusnahkan laluan trekking utama dan menghanyutkan beberapa jambatan, sekali gus mencetuskan operasi menyelamat.
Bencana yang bermula susulan kejadian tanah runtuh sebelum subuh di daerah Gorkha itu turut menjejaskan infrastruktur setempat, termasuk tiga loji hidroelektrik, manakala lima penduduk kampung masih belum dapat dihubungi selepas kediaman mereka dihanyutkan lumpur dan sisa runtuhan.
Menurut pihak berkuasa Nepal, seramai 321 individu termasuk 12 warga asing berjaya diselamatkan pada Isnin, sementara operasi mencari dan menyelamat dijadualkan diteruskan pada Selasa walaupun paras air sungai dilaporkan mula surut.
Pegawai Projek Kawasan Pemuliharaan Manaslu, Bhuwan Raj Ojha berkata, lebih 100 pendaki asing masih terkandas di beberapa lokasi berikutan kerosakan laluan yang menjadi akses utama ke kawasan berkenaan.
“Pendaki yang ingin berpatah balik kerana banjir perlu dibawa keluar melalui operasi menyelamat. Mereka yang mahu meneruskan perjalanan masih boleh berbuat demikian dari kawasan yang selamat,” katanya kepada Reuters.
Beliau berkata, kemudahan asas seperti restoran dan rumah persinggahan atau tea house di sepanjang laluan trekking masih beroperasi serta berada dalam keadaan selamat.
Sementara itu, Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD) berpandangan banjir berkenaan berkemungkinan berpunca daripada kegagalan sekatan sementara aliran sungai yang terbentuk akibat tanah runtuh.
Ketua Pengarah ICIMOD, Pema Gyamtsho berkata, kejadian itu memperlihatkan kerentanan komuniti pergunungan dan kawasan sepanjang sungai terhadap bencana yang berlaku secara mendadak serta mencetuskan kesan berantai.
Menurutnya, usaha menyelamat dan bantuan kecemasan perlu diutamakan ketika ini, namun punca sebenar kejadian juga perlu dikenal pasti bagi mengurangkan risiko bencana pada masa hadapan serta meningkatkan daya tahan penduduk setempat.
Sungai Budhi Gandaki merupakan anak sungai kepada Sungai Trishuli, yang turut terjejas akibat bencana banjir besar pada Ogos lalu selepas keruntuhan glasier di salah satu cabangnya mengorbankan 1,457 orang, manakala ribuan lagi dilaporkan masih hilang.
Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan setakat ini dalam kejadian terbaharu tersebut. – Astro AWANI
