PULAU PINANG – Suasana meriah dan penuh warna-warni menyelubungi Dataran Usahawan Universiti Sains Malaysia (USM) apabila pelajar pelbagai kaum hadir bersama-sama meraikan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Ikatan Mahasiswa Anak Johor (IKMAR) di sini, malam tadi.
Acara yang berlangsung itu menyaksikan keunikan perpaduan apabila pelajar bukan Melayu tampil mengenakan pakaian tradisional Melayu seperti baju kurung dan baju Melayu.
Antara yang mencuri tumpuan ialah Santhiya Rabart Kennady, pelajar tahun 1 dari Pusat Pengajian Komunikasi, yang tampil anggun dalam busana kurung moden berwarna hitam berbunga.
“Saya berasa sangat gembira dapat memakai baju kurung pada majlis ini. Ia bukan sahaja selesa, malah membuat saya rasa lebih dekat dengan rakan-rakan Melayu dan budaya mereka,” katanya sambil tersenyum ceria.
Turut mencuri perhatian ialah Wang He Xu, pelajar tahun 1 dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, yang kelihatan segak berbaju Melayu kelabu.
“Saya memang tertarik dengan budaya Melayu dan saya rasa ini peluang yang baik untuk menunjukkan semangat perpaduan. Saya sangat seronok hari ini,” katanya ketika ditemui wakil MYBERITA di Pulau Pinang.
Yang Dipertua IKMAR, Fadzlin Najwa, berkata sambutan daripada pelajar pelbagai kaum membuktikan bahawa semangat perpaduan masih kukuh dalam kalangan mahasiswa.
“Kami amat terharu melihat pelajar bukan Melayu sanggup mengenakan pakaian tradisional dan turut serta dalam sambutan ini. Inilah gambaran sebenar masyarakat harmoni yang kita inginkan,” katanya dengan penuh bangga.
Majlis dimeriahkan lagi dengan pelbagai juadah tradisional seperti Laksa Johor dan kuih-muih Melayu. Rumah terbuka ini bukan sekadar sambutan Hari Raya, tetapi turut menjadi wadah mempererat hubungan antara kaum dan menyemai semangat muhibah dalam kalangan warga kampus USM.
