KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua lelaki warga Pakistan selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis ketamin seberat 191.28 kilogram, enam tahun lalu.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu terhadap Abdul Wahab, 60, dan Muhammad Rafiq, 52, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan di akhir kes pembelaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Putrajaya, Syazwani Zawawi dan Muhammad Amin Azmi, manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam A. Venkateswari dan A. Rajee.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada tahun 2020, seramai 19 saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan, termasuk kedua-dua tertuduh, telah dipanggil memberi keterangan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Abdul Wahab dan Muhammad Rafiq didakwa bersama-sama mengedar ketamin seberat 126.502 kg dan 63.79 kg di dua premis berasingan di Jalan Munshi Abdullah, Dang Wangi dan Taman Teluk Gedung Indah, Klang antara jam 4.30 petang hingga 10.30 malam pada 25 Mac 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Abdul Wahab turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengedar ketamin seberat 987.6 gram pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.

