KUALA LUMPUR – Siapa sangka impian yang tercetus dek pengalaman kerja sambilan berdekad lalu kini menjadi kenyataan.
Pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat, mencipta busana pengantin couture yang diperbuat sepenuhnya daripada kek seberat 90 kilogram. Busana unik ini direalisasikan melalui kerjasama beliau bersama jenama pencuci mulut terkemuka, Gula Cakery.
Projek bersejarah ini mencipta sensasi dalam dunia fesyen dan seni pembuatan kek, apabila ia menggabungkan kedua-dua bidang tersebut dalam satu pertunjukan fesyen yang tidak pernah disaksikan di Malaysia.
Busana kek yang terdiri daripada lapisan kek bertemakan Neapolitan ini dilengkapi dengan lebih 1,500 kuntum bunga gum paste buatan tangan dan 1,500 titik royal icing. Kek tersebut terdiri daripada perisa coklat lembap, vanila, dan red velvet, dengan fabrik boleh dimakan yang diperbuat daripada gabungan gelatin dan coklat putih.
Menurut Hatta, idea mencipta busana daripada kek ini muncul semasa beliau bekerja sambilan di sebuah hotel selepas tamat pengajian, ketika sering melihat para cef menyediakan kek. \”Saya pernah berangan untuk menghasilkan kek yang boleh dijadikan baju. Kedengaran agak gila, tapi akhirnya impian itu berjaya direalisasikan,\” ujar pereka berusia 42 tahun itu.
Namun, mencipta busana tersebut bukanlah tugas yang mudah. \”Cabaran utama kami adalah untuk menghasilkan struktur kek yang bukan sahaja stabil tetapi juga boleh digerakkan oleh model di atas pentas. Pada asalnya, kami merancang untuk menggunakan troli, namun ia tidak sesuai, jadi kami terpaksa mencari alternatif lain untuk membolehkan model bergerak,\” tambahnya.
Projek ini memerlukan perancangan teliti, terutama dari segi struktur mekanikal dan logistik. Untuk memastikan keselamatan dan kestabilan kek tersebut, sebuah lori khas dilengkapi sistem lif digunakan untuk membawa busana tersebut ke lokasi acara. Kek tersebut perlu dibina secara DIY untuk memastikan ia kukuh dan mampu digerakkan tanpa berlaku sebarang kerosakan.
Di samping itu, Hatta turut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Pereka Fesyen Malaysia Pertama Yang Menganjurkan Pertunjukan Fesyen Konseptual Dengan Busana Couture Diperbuat Daripada Kek. Beliau turut mempersembahkan lapan rekaan berasaskan kek dalam acara tersebut, termasuk rekaan khusus untuk lelaki.
Projek yang menakjubkan ini bukan sahaja menonjolkan kehebatan dalam dunia fesyen, tetapi juga menunjukkan kreativiti yang luar biasa dalam seni pembuatan kek, serta memberikan inspirasi kepada banyak orang bahawa tiada yang mustahil.

