KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki hari ini memaklumkan bahawa notis tuntutan saman fitnah telah diserahkan secara rasmi kepada Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo.
Menurut Asyraf, penyerahan notis saman tersebut dibuat oleh pasukan peguamnya kira-kira jam 2.15 petang di kediaman Papagomo.
“Cukuplah budaya politik kebencian dan fitnah murahan. Kita mesti ajar erti tanggungjawab terhadap kata-kata dan tindakan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Beliau turut menegaskan bahawa fitnah bukan sahaja mendatangkan implikasi undang-undang di dunia, malah membawa azab berat di akhirat jika tidak bertaubat.
“Kalaupun tidak kisah dengan hukuman dunia, moga ada sekelumit perasaan takut pada azab Allah yang amat pedih akibat fitnah. See you in court!” tegasnya.
Setakat ini, Papagomo masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung notis saman yang diterimanya.
Sebelum ini, Papagomo didakwa memfitnah Asyraf dalam satu siaran langsung di media sosial apabila mendakwa Pengerusi MARA itu menggunakan wang agensi tersebut untuk menaja satu majlis di Parlimen Grik, Perak.
Bagi menepis dakwaan tersebut, Asyraf menerusi satu video balas menyatakan akan memfailkan saman fitnah berjumlah RM1 juta terhadap Papagomo kelmarin.
Kes ini dijangka menjadi perhatian umum memandangkan ia melibatkan tokoh politik serta tuduhan berkaitan integriti pengurusan agensi kerajaan.

