Jari hampir dipotong, Farres Putra terus genggam impian di litar permotoran

KUALA LUMPUR – Baru berusia 17 tahun, tetapi nama Farres Putra semakin dikenali dalam dunia permotoran tanah air apabila berjaya mencipta pelbagai kejayaan di pentas tempatan dan antarabangsa.

Anak muda berbakat besar ini mula menunggang motosikal seawal usia empat tahun, hasil pengaruh ibu bapa yang sememangnya aktif dalam bidang sukan bermotor.

“Saya bermula daripada keluarga sendiri. Ayah dulu berlumba kereta, saya pula turun ke motosikal,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Farres yang kini mewakili pasukan Yamaha Hong Leong Malaysia menjelaskan, laluan untuk menjadi pelumba profesional bukan mudah, malah memerlukan pengorbanan besar termasuk dari segi mental dan fizikal.

“Kita perlu jaga berat badan, tidak boleh makan sebarangan. Latihan fizikal pun kena buat selalu gym, berenang, macam-macam lagi. Mental pun kena kuat sebab risiko jatuh itu sentiasa ada,” katanya yang aktif mengikuti program latihan dengan jurulatih khas.

Antara pencapaian membanggakan buat Farres adalah apabila beliau berjaya menyertai kategori Superbike 600cc tahun ini yang merupakan antara satu pencapaian luar biasa bagi pelumba bawah 20 tahun.

“Bagi saya, itu antara pencapaian terbaik saya. Motor 600cc bukan senang nak kawal, berat dan sangat laju. Kena sesuaikan berat badan dengan motor,” jelasnya.

Farres turut berkongsi pengalaman berlumba di luar negara termasuk di Sepanyol, terutamanya di Litar Jerez di Madrid menjadi antara lokasi ikonik dalam dunia MotoGP yang menjadi medan perlumbaan legenda seperti Valentino Rossi dan Marc Márquez.

“Alhamdulillah, saya sempat ke Jerez tahun lepas. Banyak pengalaman saya kutip di sana. Memang impian setiap pelumba nak jejak kaki ke situ,” katanya.

Namun, di sebalik kegemilangan, Farres juga pernah mengalami kecederaan serius termasuk dua kali menjalani pembedahan pada jari yang hampir membawa kepada keputusan sukar untuk memotongnya.

BACA JUGA:  Warga emas maut ketika pulang dari surau

“Sampai team pernah cadang untuk potong jari sebab terlalu sensitif. Tapi saya ambil masa dua minggu fikir. Akhirnya saya buat keputusan tak potong. Takkan nak hilang jari, kan?”

Mengulas mengenai pesaing atau ‘rival’, Farres mengakui pelumba dari negara jiran seperti Indonesia dan Thailand turut memberi saingan sengit, kebanyakannya lebih berusia daripadanya.

“Dalam negara pun ramai pesaing hebat. Tapi itu semua cabaran yang mematangkan saya,” ujarnya.

Farres yang turut memiliki beberapa trofi kejayaan berkata, hanya trofi tempat kedua dan ketiga berada dalam simpanannya kerana trofi kemenangan pertama biasanya dipegang pasukan.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Yamaha Hong Leong Malaysia yang banyak menyokong kerjayanya sebagai pelumba muda profesional.

“Saya berterima kasih kepada Yamaha Hong Leong. Dapat bersama factory team seperti ini satu penghormatan besar buat saya,” katanya yang kini giat membuat persediaan untuk perlumbaan akan datang.

Dengan semangat luar biasa dan disiplin tinggi, Farres Putra dilihat sebagai aset penting masa depan sukan permotoran Malaysia dan tidak mustahil satu hari nanti bakal menyinar di pentas MotoGP dunia.

Nabil Qodri
Nabil Qodri
nabilqodri@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...