KUALA LUMPUR – Astro terus komited dalam mencungkil bakat tempatan dengan mengetengahkan pendekatan lebih segar dan inklusif menerusi musim terbaharu program realiti nyanyian ikonik, Kilauan Emas 2025 yang bakal bersiaran bermula 16 Ogos ini, setiap Sabtu jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105).
Menariknya, edisi kali ini memperkenalkan beberapa pembaharuan signifikan termasuk penurunan had umur penyertaan kepada 43 tahun bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan berpengalaman atau ‘otai’ yang berbakat untuk menyinar di pentas utama.
Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Idlan Zahari, Kilauan Emas 2025 bukan sekadar program hiburan malah menjadi medan penting untuk menyatukan rakyat Malaysia menerusi muzik dan budaya.
“Musim ini menyaksikan penambahbaikan dari segi kriteria penyertaan dan format produksi. Kami amat berbesar hati dengan sambutan yang diterima. Ini bukan sekadar program nyanyian tetapi platform memperkasa golongan otai dalam mengejar impian mereka” ujarnya.
Sesi uji bakat yang berlangsung pada Mei dan Jun lalu di Miri, Johor dan Shah Alam menarik lebih 500 penyertaan daripada pelbagai latar belakang memperlihatkan kepelbagaian bakat bukan sahaja dari segi nyanyian malah persembahan pentas seperti lakonan dan tarian turut mencuri perhatian.
Sebanyak 12 peserta solo berumur antara 43 hingga 65 tahun telah terpilih untuk musim ini antaranya Zanie, Shah, Nurul, Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay yang masing-masing membawa keunikan serta kisah tersendiri dalam usaha merebut gelaran juara.
Program ini dikendalikan oleh selebriti popular Elly Mazlein sebagai hos utama dibantu Joey Daud selaku hos belakang pentas dan Diari Kilauan Emas.
Barisan juri menampilkan Erra Fazira yang dikekalkan sebagai juri tetap bersama Roy Azman dan juri terbaharu bersuara emas, Ning Baizura.

