PUTRAJAYA – Dari awal pagi hingga ke malam, Park Inn Hotel di sini, dipenuhi gelak tawa, debaran dan harapan ratusan peserta yang hadir mencuba nasib dalam sesi uji bakat pencarian model dan lakonan yang dianjurkan Sota Store MY pada Ahad.
Lebih 300 orang membanjiri lokasi itu, jauh melebihi sasaran awal hanya 100 hingga 200 peserta, sekali gus meninggalkan pengalaman manis buat Pengasas Sota Store MY, Iffazrin Afiq.
“Jujurnya, kami tidak sangka sambutan begitu luar biasa. Ramai datang dari pelbagai negeri, malah ada juga pelajar antarabangsa yang turut serta. Saya amat menghargai semua yang hadir, terima kasih kerana percaya dengan platform ini,” katanya ketika ditemui MYBERITA.
Lebih manis, ada peserta sanggup menaiki bas dari Johor semata-mata untuk mencuba nasib.
“Itu sesuatu yang menyentuh hati saya. Semangat mereka sangat tinggi dan itu yang membuatkan saya semakin yakin dengan bakat-bakat muda di luar sana,” tambahnya.
Iffazrin menjelaskan, walaupun slot terhad dan tidak semua dapat dipilih, ia bukan bermaksud peluang tertutup.
“Kami akan simpan nama dan profil mereka kerana mungkin ada rezeki di acara atau kempen akan datang. Bagi saya, tiada bakat yang sia-sia,” katanya.
Uji bakat ini merupakan langkah awal menuju Sota Store MY Fashion Show & Concert Festival yang akan berlangsung hujung September di Serdang. Acara itu dijangka lebih meriah dengan 70 koleksi fesyen, persembahan artis popular serta konsert terbuka tanpa tiket.


