KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong digesa memohon maaf kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) susulan kenyataannya berhubung isu kemasukan seorang pelajar cemerlang ke universiti awam.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata kenyataan Ka Siong yang menyalahkan sistem seolah-olah rosak adalah tuduhan tidak wajar dan mencemarkan nama baik KPT serta penjawat awam yang menguruskan proses pengambilan pelajar.
“Bila baca kenyataan awal daripada YB (Wee Ka Siong), saya pun kasihan kenapa adik yang dapat keputusan baik ini tidak dapat tawaran seperti diidamkan.
“Tapi akhirnya cerita sebenar, adik ini memang pandai tetapi ada lebih ramai lagi yang sangat pandai dan layak berbanding dia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurutnya, pelajar berkenaan memperoleh merit 99.9 peratus, namun hakikatnya lebih ramai calon mencapai merit penuh 100 peratus, sedangkan tempat ke Universiti Malaya (UM) sangat terhad.
“Apabila YB kata sistem sudah rosak, itu satu tuduhan yang tidak patut. Saya mendesak supaya YB memohon maaf kepada KPT kerana penjawat awam mereka sudah melaksanakan tanggungjawab dengan sangat baik, tanpa prejudis.
“Kalau malu nak minta maaf secara terbuka, YB jumpalah Menteri Pendidikan Tinggi dan minta maaf ya,” katanya.
Semalam, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam mendakwa seorang pelajar cemerlang tidak menerima tawaran ke program pengajian perakaunan UM walaupun berkelayakan.
Bagaimanapun, penjelasan KPT menjelaskan calon berkenaan berada di kedudukan 1,129 dengan merit 99.9 peratus, manakala UM hanya menyediakan 85 tempat bagi program itu.

