KUALA LUMPUR – Pelakon, Pablo Amirul tampil memberikan respon mengenai dakwaan beberapa pihak yang mendakwa dirinya mempunyai seorang anak perempuan, yang turut dikaitkan dengan kes gangguan seksual membabitkan seorang pempengaruh media sosial, beberapa bulan lalu.
Pablo atau nama sebenarnya Amirul Hisyam Mohd Sakri, 40, ketika ditemui MYBERITA di acara Polis Evo Wonda-Ful 10 Years sempena ulang tahun ke-10 francais filem itu di TGV Suria KLCC, berkata dia memilih untuk tidak mengesahkan atau menafikan dakwaan tersebut.
“Mengiyakan tidak, menidakkan pun tidak. Saya kenal siapa ibu dan anak itu. Kalau saya sudah berkahwin, tidak susah pun untuk anda mencari. Hanya petik nama, sudah boleh jumpa.
“Tetapi ada sensitiviti yang perlu kita jaga di sini. Saya lebih selesa biarkan perkara ini dalam lingkungan saya sahaja buat masa ini kerana kes masih berjalan dan tiada gunanya saya memberi kenyataan. Ia hanya akan mengganggu kelancaran prosesnya nanti,” katanya.
Pablo turut mengakui ada menghubungi keluarga mangsa, namun menegaskan dirinya tidak terganggu dengan dakwaan yang melabel dirinya sebagai bapa kepada remaja terbabit.
“Kalau saya terganggu, sejak hari pertama isu ini keluar anda sudah lihat kenyataan saya. Tetapi pendekatan saya adalah berdiam diri, fokus kepada kerja saya.
“Bohong kalau saya kata saya tidak rasa perkara ini serius. Namun saya tahu bagaimana prosesnya, sebab itu saya kekal tenang. Orang itu sedang dihakimi dan seorang lagi belajar daripada pengalaman.
“Kalau sepanjang kes itu berlangsung saya tidak membuat sebarang kenyataan, maknanya biarlah keluarganya yang selesaikan dengan pihak berkuasa. Untuk memandai-mandai pun tiada gunanya. Kita ini pelakon. Jangan terlalu ikutkan emosi. Saya sudah cukup faham bagaimana untuk mengawal situasi dan tekanan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pablo turut menitipkan pesanan kepada pempengaruh dan selebriti agar lebih berhati-hati ketika populariti memuncak supaya tidak hanyut dengan godaan dunia hiburan.
“Apa yang terjadi boleh berlaku kepada sesiapa pun. Dunia hiburan banyak godaan, boleh menyesatkan. Jadi berhati-hatilah dan jangan terlalu ikut nafsu.
“Kalau benar bernafsu sangat, bayarlah untuk perkhidmatan itu, anda faham maksud saya. Peringatan kepada influencer atau selebriti, semakin naik populariti, semakin mencabar.
“Seperti yang saya sebutkan, saya mahu menjaga sesuatu supaya tidak memberi impak negatif kepada mental mangsa. Saya berhati-hati dengan isu kesihatan mental, terutama sekali membabitkan mereka yang di bawah umur,” katanya.
Terdahulu, negara digemparkan dengan kes seorang pempengaruh yang didakwa menghantar mesej dan gambar tidak senonoh kepada remaja bawah umur, yang turut mengaitkan nama remaja berkenaan dalam kontroversi terbaru ini.

