KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor tanah air, Misha Omar sekali lagi mencipta kejayaan membanggakan apabila wajahnya menjadi selebriti seterusnya menghiasi papan iklan ikonik di Times Square, New York.
Menerusi satu hantaran di Instagram rasmi miliknya, Misha atau mesra disapa Kak Mitch menyifatkan pencapaian itu sebagai momen paling bermakna sepanjang 23 tahun beliau bergiat aktif dalam industri seni.
“Melihat wajah terpampang di billboard Times Square, New York adalah saat yang tidak mungkin dapat saya lupakan seumur hidup. Sebagai wanita, setiap suara kita membawa seribu kisah tentang kekuatan, kasih sayang dan kecekalan,” tulisnya.
Tambahnya lagi, setiap wanita membawa suara dengan pelbagai kisah, sekali gus menjadi sumber inspirasi buat generasi seterusnya.
Dalam perkongsian sama, penyanyi berusia 42 tahun itu berkata beliau menjadikan muzik sebagai platform untuk menyebarkan kekuatan dan kasih sayang sepanjang lebih dua dekad kariernya.
“Selama 23 tahun ini, muzik adalah cara saya menyampaikan cinta dan kekuatan kepada kalian. Momen bersejarah seperti ini menguatkan lagi kepercayaan saya bahawa muzik bukan sekadar kerjaya, ia adalah legasi hati yang akan terus bersemi dan menyentuh jiwa seluruh pendengar,” jelasnya.
Misha turut tidak ketinggalan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta para peminat yang sentiasa memberikan sokongan sejak awal perjalanan seninya.

