KUALA LUMPUR – Nama Edward Wong sekali lagi mencuri perhatian warganet apabila tular video di platform TikTok menunjukkan pelajar itu kini berada di Universiti Sains Malaysia (USM).
Menerusi rakaman yang dimuat naik oleh akaun @DesasiswaRestu, Edward dilihat berada dalam sebuah dewan di universiti berkenaan. Namun, video itu kemudiannya dipadam, sekali gus menimbulkan tanda tanya hangat di media sosial.

Lebih sensasi, netizen mendakwa Edward sebelum ini terlalu beria-ia mahu ke UM, malah menganggap institusi itu sebagai “destinasi impian”, namun akhirnya memilih untuk berada di USM.
“Katanya nak sangat masuk UM, last-last pilih USM juga,” sindir seorang pengguna di ruangan komen.
Sebelum ini, Edward menjadi tajuk utama akhbar dan portal berita selepas kisahnya yang memperoleh PNGK 4.0 dalam peperiksaan STPM tetapi gagal menempatkan diri di Universiti Malaya (UM) tular di seluruh negara.
Untuk rekod, Edward pernah meluahkan kekecewaannya di Facebook selepas enam universiti menolak permohonannya dalam bidang perakaunan, meskipun beliau mencatat rekod akademik dan kokurikulum yang hampir sempurna. Kisahnya kemudian menarik perhatian Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang tampil mempertahankan Edward dalam satu sidang media.
Edward ketika itu menegaskan UM sentiasa menjadi matlamat utamanya, apatah lagi kakaknya juga baru sahaja menamatkan pengajian di universiti berprestij itu.
“Realiti sekarang mengecewakan. Ada yang meragukan keupayaan saya, ada yang tak percaya, ada yang kata tak boleh tolong. UM sentiasa menjadi matlamat utama saya,” katanya dalam sidang media lalu.
Wee pula menyifatkan situasi menimpa Edward sebagai amat malang, malah membangkitkan persoalan mengenai sistem pemilihan universiti apabila pelajar lain dengan PNGK lebih rendah diterima masuk ke jurusan perakaunan.
Kini, ramai netizen tertanya-tanya sama ada beliau akhirnya menerima takdir untuk meneruskan pengajian di universiti berkenaan, atau masih mengintai peluang untuk meraih tempat di UM.

