KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan pendidik, Cikgu Zack Kirana mencadangkan agar pihak berkuasa pendidikan mewajibkan program lawatan ke penjara bagi pelajar sekolah susulan peningkatan kes jenayah membabitkan golongan remaja termasuk buli, rogol dan pembunuhan.
Menurut Cikgu Zack atau nama sebenarnya Saliza Ibrahim, 38, langkah itu penting bagi memberikan kesedaran awal kepada pelajar tentang realiti kehidupan di penjara, sekali gus menanam rasa insaf serta menghargai kebebasan yang dimiliki.
“Rasanya dah tiba masa, wajibkan lawatan sekolah ke penjara-penjara. Biar anak-anak lihat sendiri dengan mata mereka betapa mahalnya nilai sebuah kebebasan dan kehidupan. Allah, selamatkanlah anak-anak kami,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa peranan ibu bapa tidak seharusnya terhenti pada membesarkan anak-anak, sebaliknya turut merangkumi tanggungjawab mendidik mereka mengurus emosi dengan baik sejak kecil.
“Ibu bapa bukan sekadar perlu besarkan anak-anak, tapi kena latih mereka mengawal pelbagai bentuk emosi. Ajar anak cara tangani kemarahan, cara terima kekalahan dan persaingan. Cikgu di sekolah boleh pandaikan anak-anak dari segi akademik dan disiplin asas, tapi pengurusan emosi mestilah datang dari rumah dengan kasih sayang dan teladan,” ujarnya.
Tegas beliau, gabungan didikan sekolah dan bimbingan emosi daripada ibu bapa amat penting bagi membentuk pelajar yang matang dan berakhlak.
Pada Rabu lalu, negara dikejutkan dengan insiden tragis kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, mangsa dipercayai ditikam beberapa kali menggunakan dua senjata tajam sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian badan.
Kes berkenaan kini sedang disiasat oleh pihak polis.

