ALOR GAJAH – Dua daripada empat pelajar lelaki yang disyaki terlibat dalam kes rogol berkumpulan terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah di sini, dua minggu lalu, didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Alor Gajah hari ini.
Kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu berdepan tiga pertuduhan membabitkan kesalahan rogol secara berkumpulan, persetubuhan bertentangan aturan tabii dan amang seksual fizikal.
Di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee, hanya seorang daripada mereka mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan, manakala seorang lagi minta dibicarakan.
Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan, kedua-dua tertuduh didakwa merogol secara berkumpulan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun lapan bulan di dalam sebuah kelas Tingkatan Tiga, kira-kira pukul 2.50 petang, 30 September lalu.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara antara 10 hingga 30 tahun.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa sama di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang payudara mangsa, di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Ahmad Sazali Omar, yang memohon hukuman setimpal memandangkan kes itu amat serius, serta mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap setiap tertuduh.
Peguam Chua Yong Yi, yang mewakili tertuduh pertama, memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya baru menjalani pembedahan sinus dan menghidap penyakit angin pasang.
Sementara itu, tertuduh kedua yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) turut memohon jaminan rendah dan menyatakan kesediaan mematuhi syarat mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM7,000 setiap seorang iaitu RM4,000 bagi pertuduhan pertama dan RM1,500 masing-masing bagi pertuduhan kedua dan ketiga.
Majistret Shu Yee menetapkan 26 November depan untuk sebutan serahan dokumen bagi tertuduh pertama serta laporan akhlak bagi tertuduh kedua sebelum hukuman dijatuhkan.
Sebelum ini, media pada 11 Oktober lalu melaporkan empat pelajar berusia 17 tahun direman enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

