KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, mengalami kerugian kira-kira RM2,000 selepas kenderaan miliknya dipecah dalam kejadian yang berlaku di Taman Persekutuan Bukit Kiara, di sini, semalam.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.15 petang ketika beliau sedang berjoging sejurus selepas hujan lebat berhenti.
“Apabila saya kembali ke kereta pada pukul 7 malam, saya mendapati cermin tingkap di bahagian penumpang hadapan telah dipecahkan. Beg tangan saya yang diletakkan di ruang kaki tempat duduk tersebut juga telah hilang,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Teresa, beliau kehilangan kira-kira RM2,000 tunai dan wang angpau, selain kad pengenalan, pelbagai kad kredit serta dokumen penting lain.
Beliau segera membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, di mana pegawai polis bertugas mengendalikan laporan itu dengan profesional.
Pegawai penyiasat, Encik Guna, hadir untuk mengambil kenyataannya, manakala unit forensik turut tiba untuk mengambil gambar dan kesan cap jari pada kenderaan terbabit. Teresa meninggalkan balai polis kira-kira pukul 9.30 malam.
Sehubungan itu, Teresa berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat memasang televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara bagi memudahkan siasatan polis terhadap jenayah yang berlaku.

