BANGKOK – Ujian kesihatan yang melanda dua hari sebelum pertandingan hampir merencatkan impian pesilat wanita negara, Ummi Mashitah Hassan, namun kecekalan dan kepercayaan tinggi terhadap rezeki Allah menjadi kunci kebangkitannya untuk menghadiahkan pingat emas Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.
Atlet berusia 22 tahun itu terpaksa berdepan situasi getir apabila diserang influenza sehingga menyebabkan berat badannya susut mendadak dan jatuh di bawah had kategori kelas C Puteri (55-60kg). Demi memastikan kelayakan bertanding, Ummi terpaksa minum tiga botol air setiap pagi sebelum sesi timbang berat badan.
Namun, cabaran tersebut langsung tidak mematahkan semangat anak jati Marudi, Miri, Sarawak itu yang tampil dengan aksi bertenaga untuk menewaskan wakil tuan rumah, Anuntaya Niyompan, dengan keputusan 104-88 dalam perlawanan akhir.
“Alhamdulillah, saya percaya dengan usaha dan rezeki Allah. Walaupun sangat penat dan pernafasan tidak begitu baik akibat influenza, saya yakin dengan latihan yang diberikan jurulatih,” katanya selepas perlawanan.
Kejayaan Ummi dianggap luar biasa memandangkan perjalanan kariernya bermula secara sederhana apabila menyertai kelab silat di kampung sekadar suka-suka kira-kira dua tahun lalu. Bakatnya kemudian digilap sehingga muncul juara Sukan Malaysia (SUKMA) sebelum melakar sejarah tersendiri bergelar juara Asia Tenggara 2025.
Ummi turut menzahirkan penghargaan kepada jurulatih kebangsaan, Siti Rahmah Mohamed Nasir, yang disifatkan banyak menyuntik semangat dan keyakinan untuknya mencipta kejayaan di bumi Thailand.
“Saya sampai ke tahap ini kerana sokongan jurulatih dan doa semua. Pingat ini untuk Malaysia,” katanya.

