SHAH ALAM – Pasangan bintang program realiti Talk To My Manager 2, Datuk Fazley Yaakob bersama Fariedz Fazley diumumkan sebagai pasangan kedua tersingkir daripada pertandingan itu selepas memperoleh markah terendah pada minggu keempat.
Menerusi persembahan lagu Baby nyanyian Justin Bieber dan Kopi Dangdut oleh Fahmi Shahab, pasangan tersebut gagal menambat hati juri sekali gus terpaksa meninggalkan pentas TTMM2.
Turut berada dalam kelompok tiga terbawah ialah pasangan Safura dan Kim Khairii serta Ani Mayuni bersama Viviana.
Sementara itu, anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie bagi minggu keempat menjadi milik Pak Azad dan Amarra. Kemenangan tersebut melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta hamper tajaan Eskayvie.
Dalam perkembangan sama, Datuk A. Aida dan Azeva sekali lagi berjaya merangkul anugerah Manager Paling Perform (MPP). Susulan kemenangan itu, mereka diberikan tiga pilihan kelebihan iaitu ‘hello senior manager’, giliran persembahan atau pertukaran lagu.
Bagaimanapun, A. Aida selaku pengurus memilih kelebihan ‘hello senior manager’ untuk digunakan pada minggu berikutnya.
Antara pasangan pengurus-artis yang bersaing dalam musim kedua program itu ialah Adira dan Anggrek, Ani Mayuni dan Viviana, Datuk A. Aida dan Azeva, Datuk Fazley dan Fariedz Fazley, selain Datuk Seri Vida bersama Cik B.
Turut memeriahkan pertandingan ialah Jamilulhayat dan Hussain, Linda Jasmine dan Ratu, Nana Mahazan bersama Althea, Pak Azad dan Amarra serta Safura dan Kim Khairii.
Program itu dikendalikan oleh Aznil Nawawi bersama barisan juri tetap iaitu Sarimah Ibrahim dan Datuk AC Mizal, manakala Jaclyn Victor tampil sebagai juri jemputan.
Setiap pasangan pengurus dan artis dinilai secara keseluruhan dengan pecahan markah 60 peratus untuk pengurus dan 40 peratus untuk artis.

