KUALA LUMPUR – Pelawak terkenal, Shuib, atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 42, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mempromosikan rokok elektronik (vape) dalam sebuah podcast dua tahun lalu.
Majistret Ezrene Zakariah menjatuhkan hukuman itu selepas Shuib selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan. Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, Shuib boleh dipenjara selama tempoh setahun.
Mengikut pertuduhan pindaan, Shuib didakwa mempromosikan produk rokok elektronik Soundvape yang melanggar Seksyen 9(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852). Pertuduhan itu menyatakan beliau mengambil bahagian dalam promosi produk tembakau atau pengganti tembakau yang berpotensi menggalakkan orang ramai untuk merokok atau mempromosikannya sebagai produk berhenti merokok.
Kesalahan didakwa dilakukan melalui podcast yang disiarkan pada 22 Oktober 2024, pukul 4.26 petang, dan dibaca di Aras 3 Blok F1, Sektor Inspektorat dan Perundangan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 9(3) Akta 852 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa KKM, Kua Ah Kiong memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan kepentingan awam lebih utama berbanding kepentingan peribadi OKS. Beliau menekankan bahawa Shuib sebagai selebriti berpengaruh boleh menjadi ikutan ramai, terutamanya pengikutnya, dan tindakan mempromosikan produk itu boleh menjejaskan usaha kawalan merokok.
Sementara itu, peguam Shuib, Ahmad I’zzudin Ahmad Nadzri memohon hukuman denda minimum kerana anak guamnya telah menarik balik siaran promosi tersebut daripada Youtube. Beliau menegaskan Shuib sedar akan kesalahan yang dilakukan dan sentiasa berusaha mematuhi undang-undang yang ditetapkan.



